Perbicaraan Kes Bekas Menteri Pengangkutan Bermula 2 April

Diterbitkan: Jumaat, 4 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dipanggil sebagai saksi pendakwa dalam perbicaraan kes tipu bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy berkaitan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang yang akan bermula 2 April tahun depan di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menetapkan tarikh berkenaan setelah Chan mengaku tidak bersalah kepada tiga pertuduhan pindaan yang dibacakan kepada beliau hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan memaklumkan bahawa terdapat pindaan dalam ketiga-tiga pertuduhan iaitu dengan meminda perkataan "kerajaan Malaysia" kepada "sokongan kamu (Chan) sebagai menteri pengangkutan".

Oleh itu mengikut pertuduhan pindaan itu Chan didakwa menipu bekas perdana menteri itu dengan memperdayakan beliau (Abdullah) bagi meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk menjalankan pembangunan projek hab penghantaran di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja-kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006 bernilai RM1.9 bilion.

Chan, 55, didakwa dengan curangnya menyembunyikan fakta pembiayaan kos pembangunan akan dibiayai melalui bon oleh KDSB melalui Transshipment Megahub Berhad dengan sokongannya sebagai menteri pengangkutan.

Bekas menteri itu dituduh melakukan kesalahan itu di tingkat empat blok utama di pejabat Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Chan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Hakim Zamani menetapkan tarikh perbicaraan itu bermula dari 2 April sehingga bulan Ogos, sambil mengingatkan kedua-dua pihak untuk bersikap profesional bagi memastikan perbicaraan berjalan lancar.

"Ini adalah kes berprofil tinggi dan mendapat perhatian ramai jadi saya bercadang untuk memulakan perbicaraannya seawal Januari tetapi mahkamah membenarkan kes ini bermula April selepas mempertimbangkan permohonan pihak pembelaan yang memerlukan lebih masa untuk memperolehi semua dokumen berkaitan daripada pendakwaan," katanya.

Hakim Zamani merupakan salah seorang hakim di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan ditugaskan mengendalikan perbicaraan ini.

Di awal prosiding hari ini, peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Chan berkata walaupun pihaknya ada menerima dokumen-dokumen daripada pihak pendakwaan, tetapi memerlukan lebih banyak lagi dokumen berkaitan 'kertas kabinet' khususnya berkaitan isu bon.

"Kami memerlukan dokumen-dokumen berkenaan secepat mungkin dan berharap pihak pendakwaan akan memberikan kerjasama dan kami tidak berniat sama sekali untuk melengah-lengahkan perbicaraan," kata Tan.

Nordin memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telahpun menyerahkan 'kertas kabinet' dan bersedia menyerahkan dokumen-dokumen lain sekiranya pihak pembelaan menyatakan secara spesifik apakah dokumen-dokumen tambahan yang lain.

Selepas prosiding hari ini, Nordin memberitahu pemberita selain Abdullah, pihak pendakwaan akan memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan dalam kes itu. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 24 Oktober 2017 9:00 AM

Jom Santai Tajul & Ruhainies Gamat!

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan