Penumpang Kemuka Saman Untuk Halang Penutupan Lintasan Di Landasan Kereta Api Sabah

Diterbitkan: Jumaat, 4 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Seorang penumpang kereta api memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini bagi memohon satu perintah untuk menghalang pihak berkuasa menutup lintasan di sepanjang landasan keretapi dari Tanjung Aru ke Tenom di pedalaman Sabah.

Robert Mojolou, 58, mengemukakan permohonan ex-parte bagi kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah dan Pengurus Besar Jabatan Keretapi Negeri Sabah, melalui Tetuan Marcel Jude Joseph.

Selain perintah menghalang, beliau memohon perintah mandamus bagi mengarahkan kedua-dua responden menggunakan kuasa mereka mengikut Seksyen 20 dan 21 Ordinan Keretapi Negeri Sabah iaitu menyediakan kemudahan pagar sewajarnya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mojolou berkata beliau memfailkan saman itu kerana khuatir dengan keselamatannya, dan demi kepentingan awam.

"Selepas kemalangan kereta api Isnin lepas, saya terperanjat bila Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah mahu menutup semua lintasan haram di kawasan landasan.

"Pertama sekali, kenyataan itu mengelirukan. Sesiapa sahaja boleh melintasi mana-mana bahagian di sepanjang landasan kereta api, dan mereka hanya dikenakan denda sebanyak RM10, mengikut Seksyen 18 Ordinan Keretapi.

"Jadi, tidak ada masalah dengan lintasan haram, kecuali jika anda membina pagar dari Kota Kinabalu ke Tenom, yang sama sekali tidak praktikal," katanya.

Sekurang-kurangnya 12 daripada 116 penumpang cedera apabila kereta api tiga gerabak itu berlanggar dengan lori tangki minyak berhampiran sebuah stesen minyak di Kilometer 18, Petagas dekat sini, pada 5.40 petang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan