Pembunuhan Banting: Spesimen Tulang Tiada DNA?

Diterbitkan: Jumaat, 4 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, dikejutkan dengan persoalan bahawa spesimen yang berkemungkinan besar tulang manusia yang dijumpai dalam siasatan kes tersebut tidak mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA).

Perkara itu ditimbulkan oleh peguam Manjeet Singh Dhillon kepada saksi pendakwaan ke-63, Dr Nurliza Abdullah, 46, berdasarkan keterangan Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang terdahulu mengesahkan bahawa 30 daripada 2,030 spesimen yang dijumpai telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi mendapatkan DNA.

Tambah saksi, bagi tujuan tersebut, Pengarah Bahagian Forensik, jabatan terbabit, Lim Kong Boon telah mengambil 18 spesimen pada 15 September 2010 manakala baki 12 spesimen lagi diambil pada 21 September tahun yang sama oleh ahli kimia, Nor Aidora Saedon.

Manjeet: Adakah kamu tahu hasil ujian DNA yang dijalankan terhadap spesimen-spesimen yang diambil?

Nurliza: Saya tidak tahu.

Manjeet: Saya beritahu kamu bahawa mereka (Jabatan Kimia Malaysia) tidak menjumpai apa-apa DNA dalam semua 30 spesimen tersebut?

Nurliza: Saya tidak tahu.

Manjeet: Adakah kamu terkejut mendengar perkara ini?

Nurliza: Saya tidak terkejut.

Semasa disoal balas oleh Manjeet, saksi itu juga mengakui bahawa beliau tidak boleh memastikan sama ada spesimen tersebut datang daripada individu berbangsa India, Cina, Melayu atau Caucasian.

Nurliza yang merupakan pakar dalam bidang anthropology (tulang dan rangka manusia) juga mengakui bahawa beliau tidak boleh mengesahkan tempoh berapa lama spesimen tulang tersebut telah berada di tempat ia dijumpai.

Pada prosiding itu, Manjeet juga bertanyakan saksi sekiranya beliau mempunyai pengetahuan atau kepakaran dalam bidang tulang haiwan, seperti lembu, kambing dan anjing yang dikatakan terdapat di ladang tempat pembunuhan tersebut didakwa berlaku.

Nurliza memberitahu, beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut tetapi memiliki pengetahuan asas berhubung perkara berkenaan, selain turut mengesahkan spesimen tersebut tidak dihantar untuk rujukan pakar di dalam bidang haiwan.

Manjeet menambah, rangka tulang manusia dan haiwan-haiwan tersebut berkongsi istilah-istilah yang sama dan cadangan tersebut diakui oleh pakar yang bertubuh kecil molek tersebut.

Berhubung penggunaan istilah 'non-human bones' (bukan tulang manusia) yang digunakan Nurliza dalam laporannya, saksi menjelaskan beliau tidak dapat memastikan secara tepat apakah bahan spesimen terbabit.

"Saya tidak tahu ia tulang apa kerana saya hanya boleh mengenal pasti tulang-tulang manusia berdasarkan sifat-sifatnya. Maka apa yang tidak saya ketahui, akan dikategorikan sebagai non-human bones," tambah beliau.

Nurliza juga bersetuju dengan cadangan Manjeet bahawa beliau tidak menggunakan perkataan 'tulang manusia' di dalam laporan tersebut, sebaliknya diletakkan sebagai 'berkemungkinan besar tulang manusia.'

Terdahulu, dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, saksi memberitahu berat kesemua 2,030 gram spesimen tulang tersebut adalah berjumlah 2,505 gram.

"Pada kebiasannya, berat serpihan tulang seorang individu yang terdedah pada suhu haba yang tinggi adalah antara 2,300 gram ke 2,400 gram dan dalam kes ini jumlahnya telah melebihi kelaziman.

Terdapat juga perbezaan antara berat serpihan tulang wanita dengan lelaki kerana serpihan tulang wanita yang didedahkan pada suhu haba yang tinggi beratnya akan kurang daripada 2,000 gram," tambahnya.

Dalam kes ini, seorang bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, sedang dibicarakan bersama tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Semua tertuduh juga didakwa membunuh pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, dekat sini, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang turut dilaporkan hilang selepas mengikuti Sosilawati ke Banting.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di sebuah ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Jika disabitkan kesalahan, semua tertuduh boleh dihukum mati mandatori seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung Selasa depan.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan