Pembunuhan Banting: Kemungkinan Besar Spesimen Adalah Tulang Manusia

Diterbitkan: Khamis, 3 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang Pakar Perunding Perubatan Forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan bahawa 2,030 spesimen termasuk 19 yang dijumpai di tapak tempat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dipercayai dibunuh bersama tiga individu yang lain, kemungkinan besar adalah tulang manusia.

Dr Nurliza Abdullah, 46, yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang forensik anthropology (tulang atau rangka manusia) juga memberitahu, spesimen tersebut turut menunjukkan kesan-kesan pembakaran atau pendedahan kepada suhu haba yang amat tinggi.

Menjelaskan keadaan itu, Nurliza yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-63 berkata, pendapat itu dibuat berdasarkan perubahan warna daripada coklat kegelapan sehingga kehitaman dan kelabu kebiruan kepada warna putih.

"Untuk mendapat perubahan warna sehingga menjadi keputihan, iaitu proses yang dipanggil sebagai calcination, ia memerlukan haba yang sekurang-kurangnya setinggi 800 darjah celcius yang menyebabkan hanya tinggal mineral yang sudah tersedia ada pada tulang," tambahnya.

Selain itu, Nurliza juga memberitahu, pemeriksaan yang dilakukan pada spesimen tersebut mendapati terdapat kesan retakan, rekahan dan belahan secara melintang serta melengkung selain berlaku perubahan bentuk struktur tulang.

"Ini menunjukkan bahawa semasa tulang-tulang ini didedahkan kepada suhu yang tinggi ia adalah tulang yang berdaging, iaitu jasad yang berdaging.

"Apabila tulang berdaging didedahkan pada suhu yang amat tinggi, perubahan akan berlaku pada tulang berkenaan yang boleh membengkok, berpintal dan menunjukkan kesan-kesan rekahan atau belahan," katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Selain itu, semasa ditanya sama ada spesimen tersebut dapat membantu dalam mengenal pasti bilangan individu yang terlibat, Nurliza berkata, beliau berpendapat sekurang-kurangnya ia melibatkan dua individu.

Pendapat itu disokong dengan penemuan dua tulang odontoid, iaitu tulang yang terdapat di bahagian belakang leher manusia yang membantu untuk menunduk atau menggelengkan kepala.

"Seorang manusia hanya mempunyai satu sahaja odontoid," katanya dan bagi memberikan pemahaman yang lebih baik, saksi menggunakan rangka manusia yang difahamkan berharga belasan ribu bagi menunjukkan kedudukan tulang tersebut.

Bagaimanapun, Nurliza mengakui bahawa beliau tidak dapat memastikan jantina, umur atau keturunan pemilik tulang terbabit memandangkan serpihan tersebut sangat pecah dan tidak boleh dicantumkan.

Ketika ditanya mengapa saksi kerap menggunakan perkataan kemungkinan besar tulang manusia semasa merujuk kepada spesimen berkenaan, Nurliza berkata, beliau hanya boleh memberi kebarangkalian secara subjektif berdasarkan hasil pemeriksaan kepada struktur anatomi manusia.

Berhubung penemuan beberapa spesimen dipercayai berkemungkinan besar adalah gigi, Nurliza memberitahu, beliau telah merujuk perkara itu kepada pakar gigi.

Pada keterangannya, Nurliza memberitahu pemeriksaan kepada semua spesimen berjumlah 2.040 yang ditemui di tapak dan di Sungai Panchau di Banting, dekat sini dilakukan pada 15 hingga 18 September 2010.

Semua spesimen terbabit akan dimasukkan semula ke dalam beg plastik dan disimpan di dalam peti sejuk mayat yang berkunci sebelum sebahagiannya di hantar ke Jabatan Kimia Malaysia menerusi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Ishak Yaakob.

Nurliza juga memberitahu beliau bersama tujuh lagi doktor dari HKL, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dekat sini dan Hospital Melaka telah mengikuti lawatan ke tapak berkenaan pada 14 September 2010 bagi membantu polis melakukan pencarian tulang.

Dalam kes ini, seorang bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, sedang dibicarakan bersama tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Semua tertuduh juga didakwa membunuh pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, dekat sini, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang turut dilaporkan hilang selepas mengikuti Sosilawati ke Banting.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di sebuah ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Jika disabitkan kesalahan, semua tertuduh boleh dihukum mati mandatori seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung Jumaat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan