Rasuah: Keputusan Lepas dan Bebas Penolong Penguasa Imigresen Kekal

Diterbitkan: Rabu, 2 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan seorang penolong penguasa imigresen wanita daripada dua pertuduhan menerima rasuah lima tahun lepas. Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Ghazali berpendapat keputusan Mahkamah Majistret pada 19 Januari lepas adalah betul kerana pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Noor Hayati Omar, 34.

Noor Hayati didakwa menerima tiga tiket kapal terbang pergi-balik ke Singapura untuk diri sendiri, ibunya, Noor Rana Sulaiman dan anak perempuannya, Noor Shahira Sabrina Ridwan daripada Pengarah Quest Agrotech (M) Sdn Bhd C. Anil Kumar, sedangkan pemberian itu mempunyai kaitan dengan tugasnya sebagai pegawai yang meluluskan pas kerja sementara.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada 6.57 pagi, 6 Mei 2006.

Bagi pertuduhan ini, Ghazali berkata beliau bersetuju dengan Mahkamah Majistret yang memutuskan pemberian itu adalah atas dasar kawan kerana pemberi tiket, Anil Kumar, ketika perbicaraan mengaku ia tidak ada kaitan dengan urusan rasmi bagi mendapatkan pas pekerja asing, sebaliknya pemberian kepada kawan yang memerlukan bantuan.

Ghazali berkata ketika itu, Noor Hayati perlu segera ke Singapura kerana neneknya sakit, dan tertuduh pernah menyatakan hasrat ingin membayar balik kos tiket berkenaan, namun ditolak Anil Kumar.

Bagi pertuduhan kedua, iaitu menerima set teater rumah Sony HTS dan TV LCD, hakim berkenaan berkata nombor siri pada televisyen itu didapati berbeza dengan pertuduhan, walaupun Noor Hayati telah menandatangani resit penerimaan.

Katanya, Timbalan Pendakwa Raya tidak mengambil sebarang tindakan untuk meminda pertuduhan walaupun terdapat perbezaan ketara berhubung nombor siri itu.

Noor Hayati didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai barangan elektrik iaitu Best Denki Malaysia Sdn Bhd di KLCC pada 26 Ogos 2006.

Dia dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret daripada kedua-dua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan