Pempena Sudah Pun Kucar-Kacir 11 Tahun Sudah - Saksi

Diterbitkan: Rabu, 2 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia memberitahu Mahkamah Sesyen pada Rabu bahawa Pembangunan Pelancongan Malaysia Berhad (PEMPENA) berada dalam keadaan kucar-kacir sebelum beliau dilantik sebagai pengerusi anak syarikat Tourism Malaysia itu, 11 tahun lepas.

Datuk Abdullah Jonid, 73, berkata ketika itu, pihak pengurusan PEMPENA tidak menjalankan tanggungjawab dan tugas masing-masing dengan sempurna kerana tidak wujud sebarang maklumat mengenai urusan perjalanan operasi di syarikat berkenaan, dan keadaannya lebih kepada kucar-kacir.

Abdullah, yang dilantik sebagai pengerusi pada Oktober 2000, berkata sewaktu mengambil alih PEMPENA, beliau mendapati tidak ada sebarang projek usaha sama dijalankan dan segala transaksi, rekod serta operasi berkaitan syarikat itu tidak wujud.

"Justeru, saya dan ahli lembaga pengarah PEMPENA mengambil keputusan untuk membuat pengurusan audit dan laporan mengenainya diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, selain turut membekukan aset PEMPENA dengan persetujuan ahli yang lain," katanya ketika disoal peguam Rejender Singh.

Saksi keenam pendakwaan itu, yang memberikan keterangan pada perbicaraan kes pecah amanah membabitkan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan bekas Ketua Pegawai Operasi PEMPENA, Mohammad Rosly Md Selamat, berkata adalah menjadi prinsip syarikat berkenaan tidak boleh melibatkan diri dengan projek yang tidak menguntungkan.

Pesara kerajaan itu berkata dana yang ada ketika itu ialah RM30 juta dan apabila beliau keluar dari PEMPENA, ia dianggarkan sebanyak RM50 juta.

Menjawab soalan lain, Abdullah berkata sumber kewangan PEMPENA dibiayai Tourism Malaysia yang mendapat peruntukan kewangan daripada kerajaan, selain mempunyai bajet pembangunan dan membolehkan syarikat itu mengusahakan projek pelancongan di dalam negara, termasuk Rantau Abang Beach Resort dan Tanjung Jara Beach Resort selain memiliki saham dalam Kelab Med di Cherating.

Bagaimanapun, katanya, selepas beberapa tahun projek ini siap, satu keputusan diambil untuk menjual semua projek berkenaan kerana tidak mendatangkan hasil.

Abdullah berkata, selepas Datuk Seri Dr Leo Michael Toyad (kini Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah) mengambil alih jawatan Menteri Pelancongan pada 2004, wujud satu cadangan untuk menjalankan projek restoran secara usaha sama di London, yang dikenali sebagai Awana Chelsea.

Katanya, projek itu dikendalikan Mohammad Rosly dan kertas kerja dibentang pada mesyuarat anggota lembaga pengarah PEMPENA.

Bagaimanapun, Abdullah berkata keputusan untuk meluluskan kertas kerja itu ditangguhkan bagi mendapatkan butiran lanjut selepas seorang rakan kongsi projek berkenaan didapati memiliki restoran di London dan dikhuatiri akan berlaku percanggahan kepentingan dalam bidang yang sama.

"Selepas mendapat keterangan lanjut, projek berkenaan kemudiannya diluluskan oleh ahli lembaga pengarah," katanya. Pada 16 Ogos tahun lepas, Mirza, 54, dan Mohammad Rosly, 57, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah meluluskan pembayaran wang berjumlah RM888,000 ke akaun LCL Interior Dubai pada 27 Feb 2007, bagi projek pembinaan Restoran Malaysia Dubai tanpa mematuhi syarat yang ditetapkan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PEMPENA di Tingkat 3, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Feb 2007.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun, dan denda, dan juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bekas Ketua Pengawal Kewangan PEMPENA Lim Khing Tai, 40, memberitahu mahkamah beliau diminta Mohammad Rosly menyediakan bayaran pendahuluan sebanyak RM888,000 kepada pegawai syarikat LCL Interiors Low Chin Meng bagi Restoran Awana Dubai di Dubai.

Saksi ketujuh pendakwaan itu berkata selepas menyerahkan borang permohonan kiriman wang kepada Mohammad Rosly, yang menandatangani dokumen itu di depannya, beliau tidak tahu apa yang berlaku selepas itu, dan hanya menyedari wang berkenaan sudah dipindahkan apabila transaksi tersebut wujud dalam kunci kira-kira laporan kewangan PEMPENA.

"Pembayaran RM888,000 kepada LCL dibuat sebagai pelaburan PEMPENA, bagaimanapun, apabila projek itu tidak berjaya, Low dikenal pasti sebagai 'penghutang' kepada PEMPENA," katanya.

Perbicaraan di depan Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh bersambung esok.

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan