Warga Guinea Didakwa Miliki 700 Keping Wang Kertas Palsu

Diterbitkan: Selasa, 1 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warganegara Guinea mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini, Selasa atas tuduhan memiliki 700 keping wang kertas palsu, tiga minggu lepas.

Nabe Salou, 25, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), didakwa memiliki 700 keping wang kertas Euro, setiap satu dengan denominasi 100 Euro yang disahkan palsu di bilik no 3-6, Mahallah Sidiq, UIAM, Gombak di sini pada 3.40 petang, 13 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Hidayah Raihan Md Nasir tidak menawarkan jaminan dengan alasan tertuduh merupakan warganegara asing dan pihaknya tidak menerima surat pengesahan ketulenan pasport dari Kedutaan Republik Guinea walaupun telah mengemukakan surat bertarikh 18 Oktober lepas.

Namun, peguam V.Alagendra memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dan sekiranya mahkamah memerlukan surat pengesahan itu, pihaknya akan mengemukakannya sebelum 5 petang ini.

Majistret Namirah Hanum Mohamad Albaki membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia selepas mahkamah menerima surat berkenaan berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan