Peniaga Didakwa Sembunyikan Kereta Curi

Diterbitkan: Selasa, 1 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menyembunyikan sebuah kereta yang disamun daripada anak seorang peguam bulan lepas.

Nor Hasmizi Muhammad, 34, didakwa dengan sengaja menyembunyikan kereta bernilai RM60,000 itu, milik Sammer Mohd Haziq Pillay, 21.

Kereta itu dilaporkan disamun di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang selepas Tol Batu 3 Bukit Jelutong, Shah Alam, pada 20 Oktober.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Masjid Mantera Baru, Merapoh, Kuala Lipis, Pahang, pada 1.20 pagi 25 Oktober lalu. Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar membenarkan Nor Hasmizi diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh diwakili peguam Ahmad Faiz Munawar manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rohana Che Ismail. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan