Nasib Khir Toyo Diketahui 23 Disember

Diterbitkan: Selasa, 1 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang berhadapan dengan pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan hartanah di Seksyen 7 , di sini pada harga lebih rendah, akan mengetahui sama ada dirinya bakal disabitkan atau dibebaskan pada 23 Disember depan.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtaruddin Baki menetapkan tarikh itu pada Selasa, selepas barisan pembelaan yang mewakili ahli politik tersebut selesai mengemukakan lima saksi mereka. Selain itu, Mohtaruddin juga menetapkan 19 Disember depan sebagai tarikh untuk kedua-dua pihak mengemukakan hujahan di akhir kes pembelaan masing-masing.

Mohamad Khir, 46, yang merupakan Menteri Besar Selangor termuda pernah dilantik, didakwa mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 46, dua bidang tanah dan sebuah rumah di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, pada harga yang lebih rendah daripada Syarikat Ditamas Sdn Bhd menerusi Pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Beliau didakwa mendapatkan hartanah itu pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta semasa membeli hartanah berkenaan pada 23 Disember 2004.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Mei 2007 di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di sini.

Pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Abd Wahab Mohamed dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohamad Khir pertama kali didakwa di mahkamah bagi kesalahan itu pada 6 Disember 2010 di Mahkamah Sesyen di sini, sebelum kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Perbicaraan bermula pada 6 Jun lalu dan berjalan selama sembilan hari dengan keterangan 25 saksi pendakwaan sebelum Mohamaad Khir dipanggil membela diri pada 8 Ogos lalu, selepas Mohtaruddin berpuas hati bahawa pihak pendawaan telah berjaya menimbulkan prima facie terhadap tuduhan tersebut.

Mohamad Khir, 46, dalam usaha mematahkan pertuduhan terbabit memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dan memanggil empat saksi termasuk dua jurunilai hartanah profesional bagi menyokong pembelaannya.

Pada pembelaannya, Mohamad Khir memberitahu, beliau membayar RM3.5 juta untuk hartanah terbabit yang merupakan harga pasaran semasa mengikut penilaian oleh jurunilai profesional dan disebabkan itu, beliau tidak tahu mengapa beliau dihadapkan ke mahkamah.

Beliau juga menambah, Shamsuddin mempunyai sebab untuk memberi keterangan yang dapat menjejaskan kedudukannya memandangkan ahli perniagaan terbabit pernah dihadapkan ke Mahkamah atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu pada 6 Disember 2010, sebelum dibebaskan pada 6 Jun lalu dan dipanggil sebagai saksi pendakwaan kedua.

Mohamad Khir juga memberitahu, pereka laman bebas, Nasir Ismail (yang pernah memberi keterangan bahawa Mohamad Khir menghabiskan lebih RM6 juta tunai untuk kerja-kerja pengubahsuaian rumah berkenaan) juga mempunyai sebab untuk melakukan perbuatan sama seperti Shamsuddin.

Ini kerana dakwa Mohamad Khir, beliau masih tidak menjelaskan baki bayaran kerja-kerja pengubahsuaian sebanyak RM200,000 daripada jumlah keseluruhan RM600,000 kerana tidak berpuas hati dengan hasil kerja Nasir, selain berlaku pergaduhan antara mereka. Sementara itu, jurunilai profesional, Iramy Ahmad pula pada keterangannya memberitahu, beliau berpendapat harga RM6.5 juta adalah terlalu tinggi untuk keseluruhan hartanah itu yang dinilaikan beliau hanya berharga RM4.3 juta pada tahun 2005.

Choy Kue Kwong yang juga jurunilai profesional bagi Syarikat Rahim & Co pula memberitahu, penilaian yang dilakukannya pada Mei 2007 pula mendapati harga hartanah itu adalah RM3.5 juta atas alasan bangunan tersebut bukanlah satu bangunan lengkap memandangkan terdapat kerja-kerja pengubahsuaian sedang dilakukan.

Pada keterangan lain, Choy juga memberitahu, Rahim & Co adalah panel penilai yang dilantik oleh Bank HSBC Sdn Bhd bagi membuat penilaian terhadap hartanah tersebut untuk tujuan permohonan pinjaman oleh Mohamad Khir.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan