Khir Toyo Tidak Pengaruhi Proses Penilaian Harga Hartanah

Diterbitkan: Selasa, 1 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang jurunilai profesional yang dilantik untuk menilai dua bidang tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini bagi urusan pinjaman bank oleh Dr Mohamad Khir Toyo memberitahu, bekas Menteri Besar Selangor itu tidak pernah mempengaruhi beliau dalam membuat keputusannya.

Choy Kue Kwong, 61, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menambah, beliau hanya mengetahui kedudukan Mohamad Khir sebagai pemimpin nombor satu Selangor pada 14 Mei 2007 selepas dibawa ke kediaman rasmi Menteri Besar sebelum bertolak ke tempat hartanah yang perlu dinilai. Kata saksi yang juga Pengarah Urusan Syarikat Rahim & Co, pertemuan tersebut adalah pertemuan kasual dan satu amalan biasa dalam kerjayanya sebagai seorang jurunilai.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, saksi pembelaan kelima itu memberitahu, penilaian yang dibuat mendapati harga pasaran semasa hartanah itu adalah RM3.5 juta, dan jumlah tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kedudukan Mohamad Khir.

Mohd Dusuki: Adakah kamu terkejut apabila mengetahui Mohamad Khir adalah Menteri Besar?

Choy: Tiada sebab untuk saya berasa terkejut. Beliau hanya seorang lagi pelanggan.

Mohd Dusuki: Saya katakan kamu bangga kerana tahu akan menilai hartanah untuk seorang Menteri Besar?

Choy: Saya pernah menilai hartanah untuk mereka yang bergelar billionaire. Tidak ada bezanya apabila kita membuat penilaian. Tambahan pula, ia bukan duit saya.

Pada prosiding itu, Choy juga menafikan bahawa wujud pakatan di antara beliau, Mohamad Khir dan pihak Bank HSBC untuk meletakkan nilai pada jumlah RM3.5 juta, kerana pada pandangannya, harga terbabit adalah munasabah dengan harga semasa hartanah di kawasan berkenaan pada hari tersebut.

Saksi seterusnya menafikan bahawa jumlah tersebut juga dipilih bagi menyamai permohonan pinjaman wang yang dibuat oleh Mohamad Khir kepada Bank HSBC kerana penilaian yang dibuatnya tidak akan mempengaruhi jumlah pinjaman yang akan diluluskan oleh pihak bank.

"Saya tidak diberitahu bahawa Mohamad Khir mahu membeli hartanah itu pada harga RM3.5 juta mahupun dimaklumkan mengenai jumlah pinjaman yang dimohon beliau daripada Bank HSBC," tambah saksi.

Beliau juga menafikan bahawa penilaian itu juga dibuat dengan mengambil kira bahawa pihak bank lazimnya hanya akan memberikan pinjaman sehingga 90 peratus daripada jumlah sebenar hartanah yang mahu dibeli.

Mohd Dusuki: Saya katakan, jika penilaian adalah lebih tinggi daripada jumlah pinjaman maka permohonan itu akan ditolak dan penilaian itu juga tidak akan diterima?

Choy: Ia tidak benar. Pihak bank akan menolak atas alasan yang berbeza, bukan untuk alasan seperti itu.

Mohd Dusuki: Jika kamu meletakkan nilai yang tinggi dan contohnya hartanah itu perlu dijual pada masa akan datang, ia tidak akan memberikan keuntungan kepada bank?

Choy: Apabila saya membuat penilaian, saya hanya memikirkan tentang jangka masa ia dibuat. Saya tidak perlu mengambil kira tempoh masa depan kerana jika ia dilelong, ia bukan suatu situasi di bawah kawalan saya.

Saksi seterusnya memberitahu, beliau tidak perlu mempertimbangkan keuntungan yang akan diperoleh oleh pihak bank dalam membuat penilaian, kerana apa yang penting adalah mendapatkan nilai pasaran hartanah tanpa mengambil kira sebarang kepentingan.

"Apabila sesebuah bank melantik kita untuk sebagai panel penilai, ia bermaksud mereka percayakan jumlah nilai yang diberikan," tambah saksi.

Choy sedang memberi keterangan selaku saksi pembelaan kepada Mohamad Khir, 46, yang sedang membela diri atas tuduhan mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, hartanah terbabit daripada Syarikat Ditamas menerusi Pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni pada harga yang lebih rendah.

Ahli politik terbabit didakwa membeli hartanah itu pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta semasa membeli hartanah itu pada 23 Disember 2004 dan kesalahan itu didakwa dilakukan dalam keadaan beliau mengetahui Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai seorang Menteri Besar.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di pada 29 Mei 2007 di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Permata, Seksyen 7, di sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan, Mohamad Khir yang akan bertolak ke Mekah pada Rabu, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki seterusnya menetapkan 19 Disember depan sebagai tarikh pendengaran hujahan oleh kedua-dua pihak di akhir peringkat pembelaan sebelum memberi keputusan pada 23 Disember depan.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan