Saksi Perbicaraan Ditangkap Penguatukuasa Agama

Diterbitkan: Isnin, 31 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Seorang saksi perbicaraan kes pembunuhan pelajar darjah satu di Mahkamah Tinggi di sini menggemparkan orang ramai apabila dia ditahan oleh sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) pada Isnin. Saiful Sopfidee Marzuki, 34, yang juga bapa kepada mangsa bunuh itu ditahan sebaik menuruni tangga Kompleks Mahkamah ketika sesi perbicaraan berehat sebelum disambung semula pada sebelah petang. Beliau adalah antara saksi yang dipanggil memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes seorang penyelia Asrama, Hanif Mohd Ali, 26, yang dituduh membunuh Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, di bilik warden asrama putera, Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Jejawi antara 6 petang dan 12 tengah malam pada 31 Mac lalu. Hanif dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Saiful Sopfidee ditahan pada kira-kira pukul 12.45 tengah hari dan dibawa dalam sebuah van ke Jabatan Agama Islam Perlis. Menurut sumber, penangkapan itu berikutan satu waran tangkap yang dikeluarkan ke atas duda itu pada 27 Oktober lalu kerana gagal hadir ke mahkamah bagi satu kes syarie awal tahun ini.

Bagaimanapun, lelaki itu kelihatan berada di mahkamah semula petang ini untuk meneruskan keterangannya.

Pasukan pendakwa diwakili Najib Zakaria, Azhar Mokhtar dan Nadiah Hanim Mohd Tajuddin manakala Hanif diwakili lima peguam bela iaitu Ariff Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusoff, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Fikri Abd Rahman, dan Zulmi Sabri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan