Penganggur Didakwa Bunuh Pelajar

Diterbitkan: Jumaat, 28 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANTING: Selepas tujuh tahun melarikan diri, seorang penganggur akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Telok Datok, di sini atas tuduhan membunuh seorang remaja perempuan yang dijumpai di dalam lubang sedalam 1.52 meter yang disimen.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Kher Then Hock, 37, yang mengaku faham akan pertuduhan yang dibacakan di dalam Bahasa Melayu.

Dia didakwa membunuh See Sheau Fang, 18, antara pukul 9.30 pagi dan 5.30 petang, 28 Februari 2004, di rumah bernombor 44, Jalan Wira 24, Taman Perwira, Sijangkang, Telok Panglima Garang, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Ridhuan Abdullah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, Kher yang tenang sepanjang prosiding juga didakwa atas tuduhan melarikan diri daripada tahanan polis yang sah semasa dia ditahan atas kesalahan membunuh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada antara pukul 6.30 dan 7.30 pagi, 13 Mac 2004 di dalam lokap Balai Polis Tanjung Sepat, Kuala Langat di sini.

Bagi kesalahan itu, lelaki yang memakai baju lokap polis berwarna jingga itu didakwa mengikut Seksyen 224 kanun yang sama dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun penjara.

Pendaftar, Rozaidi Yaacob menetapkan sebutan semula pada 8 November ini untuk kehadiran jurubahasa Bahasa Cina.

Akhbar sebelum ini melaporkan mangsa mati dibunuh dengan cara ditimbus di dalam lubang yang digali dengan menggunakan jengkaut sebelum ditimbus dan disimen di hadapan rumah tersebut.

Mangsa dilaporkan hilang pada 26 Februari 2004 dan kali terakhir dilihat menaiki sebuah kereta untuk keluar makan lewat malam bersama beberapa rakan.

Tertuduh kemudiannya dilaporkan telah melarikan diri menerusi siling tandas di balai polis berkenaan, lima hari selepas dia ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.

Kher yang bergelar pelarian yang dikhendaki akhirnya berjaya ditangkap pada 5 Oktober lalu di Masai, Johor selepas terlibat dalam kes melarikan sebuah kereta mewah.

Lelaki tersebut telah menggunakan identiti dan kad pengenalan baru bagi mengelak daripada dikesan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan