Wanita Jepun Edar Syabu Dihukum Mati

Diterbitkan: Selasa, 25 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang wanita Jepun dihukum mati pada Selasa, selepas Mahkamah Tinggi di sini mendapati dia bersalah atas tuduhan mengedar syabu melebihi 3 kilogram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh Mariko Takeuchi, 37, gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap tuduhan yang dihadapi.

Pada penghakimannya, Siti Mariah berkata, mahkamah menolak pembelaan bekas jururawat tersebut yang mendakwa beg berisi dadah itu diberikan oleh seorang pemandu yang tidak dikenalinya semasa dia berada di Dubai.

Katanya lagi, tujuan dia ke Dubai adalah untuk berjumpa dengan teman lelaki kepada kawan baiknya yang dikenali sebagai Alex untuk mengambil wang bagi pihak rakannya.

Pemandu tersebut, dakwa Mariko merupakan kenalan kepada Alex dan dia bersetuju untuk membawa beg itu ke Kuala Lumpur kerana diberitahu ia hanya berisi pakaian.

Bagaimanapun, Siti Mariah berkata, pembelaan tersebut tidak munasabah dan tidak boleh diterima memandangkan kawan baik tertuduh boleh pergi sendiri ke Dubai atau wang itu boleh dihantar melalui kiriman.

"Perbuatan tertuduh yang begitu mudah untuk menolong membawakan barang orang yang ditemui di kedai makan, selain tidak merasakan curiga terhadap berat beg yang luar biasa jika hanya berisi pakaian adalah tidak munasabah.

"Mahkamah juga tidak boleh menerima alasan tertuduh berulang alik dari Dubai ke Kuala Lumpur kerana tambangnya lebih murah berbanding tinggal di Dubai kerana tiket untuk penerbangan pergi balik adalah RM10,500.

"Wang yang dibelanjakan untuk ulang alik lebih baik diberikan kepada kawan baiknya yang dikatakan memerlukan wang," kata Siti Mariah.

Selain itu, Siti Mariah juga berkata, beliau tidak dapat menolak bahawa aktiviti keluar masuk Mariko ke negara ini sebanyak lima kali antara Oktober dan September 2009 adalah mempunyai tujuan tertentu.

Mariko didakwa mengedar 3,493 gram syabu di Kaunter Pemeriksaan Kastam D, Unit Khas Penumpang T, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 9.55 malam, 30 Oktober 2009.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aimie Yusreena Yunus sementara Mariko diwakili peguam Mohd Rafik Rahem.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil enam orang saksi manakala hanya tertuduh memberi keterangan bagi pihak pembelaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan