Jangan Tersalah Membuat Pilihan

Diterbitkan: Sabtu, 22 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MENANGIS, ketawa atau bersahaja - itu adalah tiga reaksi paling popular yang dapat dilihat di mana-mana mahkamah selepas sesuatu keputusan diberikan.

Tangisan juga terdapat dalam dua makna, iaitu sama ada sedih atau gembira dan lazimnya tidak sukar untuk membezakan antara kedua-duanya.

Seperti tangisan Jumri Andi Cama, 29, di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat lalu, boleh dikategorikan sebagai tangisan gembira kerana dia dibebaskan daripada tuduhan yang membawa hukuman paling menakutkan, iaitu hukuman mati.

Selama tiga tahun atau lebih tepatnya sejak 3 November 2008, kehidupan Jumri hanya berlegar-legar di balik tembok besi kerana didakwa membunuh seorang pemandu teksi berusia 27 tahuh, Roslan Abdul Han.

Dari tarikh keramat itulah, Jumri, lelaki berketurunan Bugis itu kehilangan nikmat bergelar ayah kepada sepasang cahaya mata dan tirai besi itu jugalah yang telah menyekat peluangnya berbakti kepada orang tua.

Penulis pernah berbicara dengan seorang tahanan reman, dan atas dasar ingin tahu sengaja dilontarkan pertanyaan, apakah perkara yang paling dirindunya apabila berada di penjara?

Jawapan tahanan tersebut hanya dua - rumah dan pilihan. Rumah kerana sudah pasti keadaan penjara tidak boleh disamakan dengan enaknya masakan rumah, empuknya tilam, malah tandas di rumah juga jauh lebih selesa dan nikmat.

Terang tahanan itu seterusnya, dia rindu akan kebebasan untuk membuat pilihan - satu perkara yang sentiasa diambil mudah sebelum ini.

Katanya lagi, dahulu dia bebas untuk tidur di mana-mana di setiap ceruk rumah, bebas untuk memilih menu makanannya, pakainya dan juga bebas untuk memilih masa makannya.

Jadi, pengajarannya kita yang berada di luar ini perlulah membuat pilihan yang tepat agar dapat terus membuat pilihan kerana pilihan Jumri yang menyertai satu perhimpunan bersama-sama lima rakannya telah menyebabkan dia kehilangan 'pilihan' selama tiga tahun.

Adakah dunia begitu adil dengan pilihan?

Mungkin kerana merasakan tidak ada pilihan, Ronnie Rikson Aron, 30, mendakwa dia terpaksa merompak rantai leher seorang operator pengeluaran warga Sri Lanka, enam hari lalu.

Anak jati Sarawak itu mendakwa, dia kelaparan kerana telah beberapa hari tidak menjamah makanan, menyebabkan dia terjebak dalam merompak rantai leher emas berharga RM1,000 itu.

Pilihan salah yang dibuat oleh Ronnie akhirnya memakan diri kerana pada Khamis lalu, dia dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun bagi kesalahan itu.

Satu yang pasti, Ronnie tidak lagi akan kelaparan kerana makanan akan diberi mengikut masa yang ditetapkan, cuma tekaknya tidak lagi bebas memilih apa yang hendak dimakan.

Jika selama ini kita memandang remah perkataan pilihan, sekarang telah tiba masanya untuk kita mengakui kehebatan gabungan tujuh abjab yang dimulai dengan huruf P dengan pengakhirannya N tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan