Saman Terhadap Samy Vellu, Isteri Dan Tamil Nesan Selesai Luar Mahkamah

Diterbitkan: Jumaat, 21 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Saman fitnah yang difailkan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) P.Chithirakala terhadap bekas Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu dan dua lagi diselesaikan di luar mahkamah. Perkara itu dicapai selepas Chithirakala memfailkan notis pemberhentian saman di Mahkamah Tinggi pada Selasa lepas.

Peguam beliau, Prakash Lachimanan memberitahu media kedua-dua pihak bersetuju supaya kes saman itu diselesaikan di luar mahkamah.

Pada 4 November 2009, Chitirakala dan suami beliau yang juga ahli perniagaan, K.Vasu, memfailkan tiga saman terhadap Samy Vellu, isteri beliau Datin Seri R.Indrani dan akhbar Tamil Nesan.

Dalam saman pertama terhadap Samy Vellu, Chithirakala dan suaminya, mendakwa Samy Vellu telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang mempunyai kaitan dengan insurans MIED pada 8 Mac 2009, yang disiarkan oleh tiga akhbar harian berbahasa Tamil iaitu Tamil Nesan, Makkal Osai dan Malaysian Nanban.

Chithirakala berkata kenyataan itu bermaksud beliau dan suaminya telah berpakat untuk menipu MIED, sayap pendidikan MIC, dan kaum India.

Dalam saman kedua terhadap Indrani, Chithirakala mendakwa isteri bekas Presiden MIC itu memfitnah beliau dalam satu wawancara dengan portal berita MalaysiaKini pada 1 Oktober tahun ini yang turut disiarkan sepenuhnya oleh Makkal Osai pada 3 Oktober 2009.

Chitirakala dalam saman ketiganya terhadap penerbit akhbar harian berbahasa Tamil, Tamil Nesan (M) Sdn Bhd, dan Ketua Pengarangnya, K.Padmanabhan, mendakwa mereka menyiarkan artikel berbaur fitnah pada 1 Oktober 2009.

Beliau memohon ganti rugi umum dan khas dalam ketiga-tiga saman itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan