Mahkamah Bebas Anggota Polis Daripada Tuduhan Rasuah - Berita Mahkamah | mStar

Mahkamah Bebas Anggota Polis Daripada Tuduhan Rasuah

Diterbitkan: Khamis, 20 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Seorang anggota polis dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima suapan wang tunai, tahun lepas.

Hakim Mohd Zairan Aman membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lans Koperal Zakaria Ahmad, 49.

Mengikut pertuduhan pertama, Zakaria, dituduh meminta suapan sebanyak RM2,000 daripada Mohd Zaini Ahmad pada kira-kira pukul 7 malam 17 Ogos tahun lepas sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Mohd Zaini yang dikatakan telah melakukan kesalahan memiliki dadah.

Zakaria didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan kilang Kim Yong Cement Bricks Sdn Bhd, Jalan Berapit, Bukit Mertajam, dekat sini.

Bagi pertuduhan kedua, Zakaria didakwa memperoleh suapan sebanyak RM900 daripada Mohamad Hairilnizam Husim pada kira-kira pukul 10 malam pada tarikh dan tempat yang sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Mohd Zaini atas kesalahan memiliki dadah.

Bagi pertuduhan pertama Zakaria didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 manakala bagi pertuduhan kedua dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) akta yang sama. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan