Bekas Eksekutif Didakwa Pecah Amanah RM49,152

Diterbitkan: Khamis, 20 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang bekas pengarah sebuah syarikat pembuatan komponen kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM49,152, sebulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Azer Muhamad Ali, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Dia yang merupakan bekas eksekutif bahagian pembelian bahan kawalan di Syarikat Profen Sdn Bhd (Profen) didakwa melakukan perbuatan itu apabila menjual 12 bungkusan 'sill material' yang diamanahkan ke atasnya tanpa kebenaran syarikat kepada syarikat besi lusuh.

Tertuduh juga didakwa menandatangani borang penghantaran syarikat pembekalan sedangkan bahan tersebut masih belum diterima oleh Profen.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Peguam Salim Bashir yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan RM15,000 yang ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asma Nadiah Abd Rahman dapat dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak berkemampuan untuk membayarnya.

"Tertuduh telah direman selama 14 hari dan keluarganya hanya dimaklumkan bahawa dia akan didakwa di mahkamah pada Rabu. Dalam jangka masa yang singkat, mereka hanya mampu mengumpulkan wang antara RM2,000 ke RM3,000 yang dipinjam daripada saudara-mara," katanya.

Salim juga memberitahu, isteri tertuduh yang tidak bekerja bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai penjamin dan memastikan tertuduh akan menghadiri perbicaraan kelak.

Aslam selepas mempertimbangkan rayuan itu, membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 November depan.

Di mahkamah sama, seorang pemandu lori juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan serupa melakukan pecah amanah ke atas harta yang sama.

M. Kanganamoopan, 55, yang merupakan pemandu lori Syarikat AGSM yang dilantik oleh Profen didakwa melakukan kesalahan itu pada hari dan di tempat yang sama dengan Mohamad Azer.

Dia yang diwakili peguam Johnson Ariokasamy didakwa melakukan kesalahan itu apabila tidak menghantar barangan tersebut ke Profen tetapi telah menghantarnya ke kilang Syarikat Besi Lusuh Hock Leong Heng Trading Sdn Bhd.

Kanganamoopan kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 107 kanun yang sama.

Aslam menetapkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan membenarkan permohonan Asma Nadiah agar kedua-dua kes itu dibicarakan bersama.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan