Liwat II: Hujahan Lisan 23 dan 24 November Depan

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, menetapkan 23 dan 24 November depan sebagai tarikh pendengaran hujahan lisan di akhir kes pembelaan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh tersebut selepas pihak pendakwaan selesai mengemukakan semua empat saksi penyangkal mereka yang dibawa bagi mematahkan keterangan saksi pembelaan.

Peguam S.N Nair yang mewakili Anwar ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya dan pendakwaan akan memfailkan hujahan bertulis masing-masing sebelum tarikh pendengaran hujahan lisan.

“Hakim akan menetapkan tarikh keputusan selepas selesai mendengar hujahan lisan oleh kedua-dua pihak,” tambah Nair.

Beliau juga mengesahkan bahawa antara keterangan yang cuba dipatahkan oleh pihak pendakwaan menerusi saksi penyangkal ialah keterangan yang diberikan oleh pakar tulang belakang dari Jerman, Dr Thomas Hoogland.

Hoogland yang pernah mengetuai pasukan pakar dalam pembedahan membetulkan tulang belakang Anwar sebelum ini memberitahu, berdasarkan sejarah perubatan, adalah mustahil untuk ahli politik tersebut melakukan hubungan seks.

Sementara itu, saksi penyangkal yang dibawa oleh pihak pendakwaan terdiri daripada Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain, dua perunding kanan HKL, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai dan Dr Ee Boon Leong.

Turut dipanggil ialah pengawai penyiasat kes, Superintendan Jude Pereira dan seorang anggota polis, Sarjan Ahmad Abdullah.

Pada keterangannya, Jeyaindran berkata, beliau ada membuat pemeriksaan ke atas Anwar pada 16 Julai 2008 berdasarkan permohonan pihak polis agar dilakukan pemeriksaan tubuh badan dengan kebenaran suspek dan pengambilan sampel-sampel untuk kegunaan Jabatan Kimia Malaysia.

“Anwar dibawa oleh beberapa orang anggota polis termasuk Jude dan peguamnya, R. Sivarasa,” katanya dan menambah pemeriksaan di wad 28, tingkat 5, HKL.

Pemeriksaan tersebut bermula pada pukul 8.30 malam dan tamat pada pukul 10.30 malam, 16 Julai 2008.

Bagaimanapun, keterangan Jeyaindran selanjutnya dibuat secara tertutup berdasarkan permohonan oleh peguam Karpal Singh yang turut mewakili Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut.

Zaininah pula memberitahu, beliau telah menerima surat bertarikh 1 Disember 2009 daripada pejabat Tetuan S.N Nair yang memohon agar dibekalkan laporan perubatan tersebut.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, saksi berkata, tindakan beliau selanjutnya adalah menghantar surat kepada Jude memandangkan laporan tersebut telah diserahkan kepada pegawai terbabit.

Berdasarkan keterangan Jude, beliau mengakui bahawa sesalinan laporan perubatan itu telah dihantar ke pejabat peguam terbabit selepas seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria memberikan persetujuan agar dokumen itu dibekalkan kepada pihak pembelaan.

“Saya telah arahkan Sarjan Ahmad untuk menghantar laporan perubatan itu pada 24 Disember 2009,” tambah Jude.

Anwar, 64, didakwa meliwat menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini antara pukul 3.10 petang dan pukul 4.30 petang 26 Jun 2008.

Perbicaraan kes yang mendapat liputan meluas ini akhirnya akan melabuhkan tirai selepas berjalan selama 86 hari dalam jangka masa hampir tiga tahun.

Pihak pendakwaan memanggil 27 saksi pendakwaan manakala Anwar memilih untuk memberi keterangan secara tidak bersumpah dari kandang pesalah turut memanggil tujuh saksi bagi menyokong pembelaannya.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan