Taib Mahmud Akan Disapina Bekas Menantu

Diterbitkan: Isnin, 17 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan disapina untuk memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini berhubung permohonan tuntutan mutaah bernilai RM100 juta yang difailkan oleh bekas menantunya, Datin Seri Shahnaz Abdul Majid.

Peguam syarie Dr Mohd Rafie Mohd Shafie pada Isnin berkata, sapina itu dikeluarkan kerana Taib mengetahui perkara yang berlaku dalam perkahwinan anak sulungnya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir dengan Shahnaz.

"Taib pernah menyaksikan lebam-lebam di badan plaintif (Shahnaz) kerana mereka tinggal di dalam satu kawasan yang sama. Beliau juga mempunyai pengetahuan tentang harta-harta defendan (Mahmud Abu Bekir) di Amerika Syarikat dan Kanada," tambah Mohd Rafie.

Selain Taib, Shahnaz yang juga kakak kepada ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid itu turut dijangkakan akan memanggil bekas adik-adik iparnya, Jamilah Hamidah dan Datin Hanifah Hajar sebagai saksi pada perbicaraan kelak.

Shahnaz, 28, memfailkan tuntutan mutaah yang didakwanya sepadan dengan status sepanjang perkahwinannya dengan Mahmud Abu Bekir, 48, sebelum kedua-duanya bercerai secara baik pada 11 Mei lalu.

Pasangan itu berkahwin pada 9 Januari 1992 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Raden Murya yang kini berusia 18 tahun.

Kes tersebut sepatutnya dibicarakan di hadapan Ketua Hakim Syarie, Datuk Muhammad Abdullah pada hari ini, tetapi Shahnaz memohon agar ia dapat ditangguhkan kerana ketidakhadiran Mahmud Abu Bekir.

"Anak guam saya mohon agar keterangan yang akan diberikan olehnya dapat didengar oleh defendan," kata Mohd Rafie.

Peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Mahmud Abu Bekir pula memberitahu, anak guamnya tidak dapat menghadiri prosiding mahkamah kerana mempunyai mesyuarat di Kuching, Sarawak.

Sebaik sahaja mendengar penjelasan tersebut, Mohd Rafie memohon agar mahkamah mengeluarkan waran tangkap kepada Mahmud Abu Bekir sebagai peringatan agar tidak mengutamakan urusan peribadi berbanding prosiding mahkamah.

Permohonan itu turut disokong oleh seorang lagi peguam syarie yang mewakili Shahnaz, Akbardin Abdul Kader yang memberitahu, ia merupakan kali kedua Mahmud Abu Bekir tidak menghadiri mahkamah, di mana kali pertama adalah pada 3 Ogos lalu.

"Ini jelas menunjukkan sikap tidak mengambil berat dan tidak menghormati mahkamah. Waran tangkap wajar dikeluarkan untuk memberitahu bahawa beliau tidak boleh main-main dengan mahkamah. Apabila ada perbicaraan, mahkamah tidak ada pengecualian dalam isu ketidakhadiran defendan," tambah beliau.

Bagaimanapun, Zainul Rijal membantah permohonan waran tangkap itu atas alasan ketiadaan Mahmud Abu Bekir tidak akan memprejudiskan hak Shahnaz kerana perbicaraan masih boleh dijalankan selain anak guamnya telah berjanji akan hadir ke mahkamah apabila keterangannya diperlukan.

"Dalam kes ini, tidak timbul isu defendan tidak menghormati mahkamah. Dalam syariah, apa yang penting adalah keadilan dapat dilaksanakan.

"Jika dikeluarkan waran tangkap, mahkamah perlu memutuskan isu tersebut dahulu dan barulah boleh diteruskan dengan perbicaraan. Ia akan menyebabkan kes ditangguhkan." kata Zainul Rijal.

Selepas mendengar hujahan-hujahan tersebut, Hakim Syarie Muhammad memutuskan untuk memberikan amaran terhadap Mahmud Abu Bekir bahawa mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap sekiranya beliau masih tidak hadir pada prosiding akan datang yang ditetapkan berjalan selama tiga hari bermula16 Januari 2012.

Sementara itu, Zainul Rijal apabila ditemui di luar mahkamah berkata, berdasarkan pernyataan pembelaaan Mahmud Abu Bekir, anak guamnya mempertikaikan tindakan Shahnaz menggunakan gelaran 'Datin Seri' atas alasan wanita tersebut tidak layak berbuat demikian kerana telah bercerai.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan