Tiada Aduan Dr Ling Menipu Berhubung Projek PKFZ - Effendi Norwawi

Diterbitkan: Jumaat, 14 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas menteri pertanian Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi pada Jumaat memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang aduan menyatakan bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik menipu berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Mohd Effendi, yang pernah menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri berhubung projek itu, turut memberitahu beliau juga tidak pernah membuat aduan polis berkenaan dakwaan Dr Ling menipu.

Beliau juga tidak pernah memberi sebarang kenyataan bahawa Dr Ling menipu ketika disoal siasat pihak polis bulan lepas. Mohd Effendi berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling.

Selain itu, beliau berkata menerusi dua ringkasan nota yang dihantar Kementerian Pengangkutan kepada Jemaah Menteri, jelas dinyatakan bahawa kadar faedah diletakkan di dalam terma berasingan daripada harga asal.

Mohd Effendi berkata kebiasaannya, sebelum mesyuarat Jemaah Menteri berlangsung, setiap menteri akan diberikan draf minit mesyuarat, dan ketika ditanya Wong adakah beliau mempunyai kuasa untuk mempersoalkan sebarang maklumat, Mohd Effendi berkata: "Ya."

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup, Mohd Effendi memberitahu beliau tidak tahu bahawa pada 12 Nov, 2002 pihak Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) telah menandatangani perjanjian jual beli tanah.

Mohd Effendi. yang merupakan saksi ke-16 pendakwaan bagi kes Dr Ling, turut memberitahu beliau tidak pernah melihat atau ditunjukkan surat penilaian pembelian tanah daripada Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Harta (JPPH) yang disediakan Ketua Pengarahnya ketika itu, Datuk Sahari Mahadi.

Surat JPPH yang bertarikh 29 September, 2000, itu tidak menyatakan tentang kadar sebanyak 7.5 peratus, dan ketika ditanya Manoj adakah beliau tahu mengenai perkara itu (7.5 peratus), Mohd Effendi menjawab: "Tidak."

Mohd Effendi berkata pada 6 November, 2002, beliau tidak menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri dan tidak mengetahui bahawa Kabinet memutuskan untuk membeli tanah seluas 400 hektar di Pulau Indah sepertimana dipersetujui dengan terma pembayaran sehingga 15 tahun dan harga tanah adalah RM25 sekaki persegi. Menerusi keputusan Jemaah Menteri itu juga, tiada dinyatakan mengenai kadar faedah sebanyak 7.5 peratus.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000, sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling, 68, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 November, 2002.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung 10 November. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan