Permohonan Notis Usul Isteri Allahyarham Baharudin Ditolak

Diterbitkan: Khamis, 13 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Khamis menolak notis usul yang difailkan oleh isteri Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal dunia ketika menyertai perhimpunan haram pada 9 Julai lepas.

Permohonan itu dikemukakan Rosni Malan, 55, pada akhir bulan Julai lalu bagi diadakan satu siasatan untuk mengetahui punca kematian suaminya.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Ahmad Jufliz Faiza, yang mewakili Rosni, manakala Timbalan Pedakwa Raya Jamil Aripin dan Ahmad Ishrakh Saad mewakili empat responden iaitu Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara, Majistret Kuala Lumpur dan Pendakwa Raya.

Su berkata permohonan yang dibuat jelas menunjukkan adalah terlalu awal atau pramatang, remeh, menyusahkan dan berlaku penyalahgunaan proses mahkamah.

Selain itu adalah tidak wajar pemohon menamakan Majistret Kuala Lumpur sebagai responden kerana tiada bukti menunjukkan bahawa laporan kematian Baharudin oleh pihak polis telah dihantar dan telah diterima oleh Majistret, katanya.

"Mahkamah juga berpendapat tiada apa-apa keputusan atau arahan yang diberikan oleh Majistret berhubung perkara itu," katanya.

Terdahulu, peguam Ahmad Jufliz memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah menulis surat kepada Mahkamah Majistret untuk mengadakan satu inkues tetapi masih belum ada sebarang jawapan sehingga tarikh ini walapun mendapat liputan meluas pihak media.

Timbalan Pendakwa Raya Jamil pula berkata pihaknya bukan membantah bagi permohonan diadakan satu siasatan untuk mengetahui punca kematian suaminya itu, sebaliknya membantah notis usul yang dikemukakan memandangkan ia bersifat pramatang serta berlaku penyalahgunaan proses mahkamah kerana belum ada apa-apa prosiding di Mahkamah Majistret.

Selain itu, belum ada laporan mengenai kematian Baharudin diberikan kepada mana-mana Mahkamah Majistret.

Sebelum ini, dalam permohonan Rosni, yang bekerja sebagai kerani, melalui peguamnya memohon perintah supaya satu siasatan mengikut tatacara di dalam Kanun Prosuder Jenayah berhubung kematian suaminya diadakan secepat mungkin bagi mengetahui punca kematiannya.

Dia juga memohon semua laporan serta dokumen-dokumen berkenaan bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat Allahyarham Baharudin di Hospital Kuala Lumpur diserahkan kepada peguam dengan serta-merta.

Dalam afidavit yang difailkan untuk menyokong permohonan itu, Rosni berkata dia dimaklumkan oleh anaknya, Hadriyudin bahawa Allahyarham Baharudin meninggal dunia dekat bangunan Avenue K, Jalan Ampang di sini ketika menyertai perhimpunan Bersih pada 9 Julai lepas. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan