Pathmanabhan Lewa Jumpa Rakan Pada Malam Kejadian Bunuh

Diterbitkan: Khamis, 13 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberitahu bahawa bekas peguam N.Pathmanabhan sepatutnya menemui seorang rakan pada malam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain didakwa dibunuh, tetapi gagal berbuat demikian dengan alasan "mahu menyelesaikan satu urusan".

Bekas pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berpangkat Asisten Komisioner Mohamad Jamil Mohamad Hassan, 79, berkata Pathmanabhan menghubunginya pada 1.30 petang pada 30 Ogos tahun lepas dan mengajak beliau berbuka puasa di Subang Jaya. Katanya Pathmanabhan berjanji akan menghubunginya semula apabila bekas peguam itu tiba di sana pada 7 malam hari sama.

"Apabila Pathmanabhan masih tidak hubungi saya pada 7 malam, saya rasa tidak sedap hati dan hubungi dia kira-kira empat ke lima minit selepas itu. Pathmanabhan jawab panggilan saya dan dia kata tidak dapat hadir kerana dia dikehendaki selesaikan urusan-urusan yang belum diselesaikan.

"Tetapi dia juga beritahu dia akan datang jumpa saya malam itu juga dan suruh saya tunggu lagi. Oleh kerana saya pun tidak ada urusan lain saya bersetuju untuk tunggu dia," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Mohamad Jamil, saksi ke-61, memberi keterangan pada perbicaraan kes Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T. Thilaiyalagan, R. Matan serta R. Khatavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam 30 Ogos tahun lepas. Pathmanabhan, 42; Thilaiyalagan, 20; Matan, 21; dan Kathavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohamad Jamil, yang mengenali Pathmanabhan kira-kira tiga tahun lepas, berkata Pathmanabhan kemudian menghubunginya pada 10 malam dan menyatakan bahawa dia telah sampai di kawasan Hotel Dorsett di Subang Jaya dan memintanya menemui beliau.

"Apabila tiba di hotel itu kira-kira 10.20 malam, saya nampak dia (Pathmanabhan) tunggu di kaunter joki hotel seorang diri. Saya tanya dia datang dengan siapa dan dia jawab dengan adiknya. Bila saya tanya mana adiknya, dia cakap adiknya tinggalkannya di situ dan pergi jumpa rakan.

"Saya kemudian ajak Pathmanabhan ke bandar Subang Jaya dan dia setuju. Saya bawa dia naik kereta saya dan kami pergi ke Classic Cafe di SS15, Subang Jaya di mana kami pesan teh tarik serta roti nan tandoori," katanya.

Saksi itu berkata sepanjang berada di sana, mereka tidak berbincang tentang perkara lain tetapi hanya berbual-bual sambil makan sehingga 12 tengah malam dan beliau kemudian mengajak Pathmanabhan pulang kerana perlu bangun sahur pada keesokannya.

Mohamad Jamil berkata Pathmanabhan meminta beliau menghantarnya semula ke hotel selepas memberitahu bahawa adiknya akan menjemputnya di sana dan pulang ke Banting.

Menurutnya kira-kira tiga hari selepas pertemuan mereka, Pathmanabhan menghubunginya dan memberitahu bahawa terdapat banyak aktiviti siasatan dilakukan pihak media dan polis di kawasan Banting berhubung kes bunuh.

"Pathmanabhan beritahu saya bahawa akhbar tidak berlaku adil terhadapnya dan saya cakap dia boleh selesaikan perkara itu sendiri. Saya juga cakap tunggu dan lihat apa akan berlaku," katanya yang memanggil Pathmanabhan dengan gelaran 'Datuk'.

Ditanya Ishak sama ada Pathmanabhan ada memberitahu beliau dari mana dia mendapat gelaran 'Datuk', Mohamad Jamil berkata Pathmanabhan ada memberitahu beliau bahawa dia dianugerahkan gelaran 'Datuk' oleh Sultan Kelantan.

Ishak : "Sepanjang mengenali Pathmanabhan, berapa kali awak jumpa dan keluar makan?"

Mohamad Jamil : "Jumpa lebih dari dua kali tetapi keluar makan dua kali."

Ishak : "Pernah atau tidak Pathmanabhan tidak tepati janji seperti yang dilakukannya pada 30 Ogos 2010?" Mohamad Jamil "Tidak pernah, dia akan tunaikan bila sudah berjanji."

Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan untuk tidak membenarkan rakaman percakapan saksi ke-59 pendakwaan, K.Sarawanan, 19, di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah digunakan oleh pihak pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu.

Beliau memutuskan sedemikian selepas selesai mendengar prosiding perbicaraan dalam perbicaraan yang diadakan bagi menentukan sama ada saksi itu ada memberi kenyataan kepada polis berhubung kes itu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-41 itu disambung pada 1 November. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan