Dr Mahathir Tangguhkan Pembelian Tanah Di Pulau Indah - Berita Mahkamah | mStar

Dr Mahathir Tangguhkan Pembelian Tanah Di Pulau Indah

Diterbitkan: Khamis, 13 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberitahu bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat keputusan untuk menangguhkan pembelian tanah seluas 400 hektar di Pulau Indah sementara menanti laporan daripada Kementerian Kewangan.

Bekas menteri pertanian Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi berkata keputusan untuk menangguhkan pembelian tanah itu dibuat pada 9 Oktober 2000 melalui perutusan khas Perdana Menteri bagi mewakili Kementerian Kewangan.

"Keputusan penangguhan untuk membeli tanah itu dibuat sementara menunggu laporan daripada Kementerian Kewangan yang mahukan Jabatan Peguam Negara mengkaji terlebih dahulu perolehan tanah melalui pembelian," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup.

Mohd Effendi, yang ketika itu Menteri Pertanian, turut memaklumkan keputusan penangguhan pembelian tanah bagi projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) itu dibuat seminggu selepas Jemaah Menteri memutuskan untuk membeli tanah tersebut pada 2 Oktober 2000.

Mohd Effendi merupakan saksi ke-16 pendakwaan bagi perbicaraan kes bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000, sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon dan faedah. Beliau juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling, 68, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 November 2002.

Menjawab kepada soalan Manoj yang ingin tahu sama ada suatu perkara biasa bagi Perdana Menteri untuk menyemak semula keputusan selepas seminggu keputusan dibuat, Mohd Effendi berkata berdasarkan pengalamannya, Perdana Menteri boleh menyemak kembali keputusan yang dibuat berdasarkan nasihat pegawai-pegawainya.

"Dalam hal ini, (nasihat yang diterimanya) adalah daripada pegawai Kementerian Kewangan," katanya.

Mengenai siapa yang memberi cadangan untuk membeli tanah di Pulau Indah, Mohd Effendi berkata beliau tidak mengingatinya.

"Saya tidak ingat, namun berdasarkan minit mesyuarat, seperti Menteri Pengangkutan yang meminta kepada Kabinet untuk membeli tanah, bagaimanapun kami memahami yang Kementerian Kewangan inginkan tanah tersebut dibuat melalui proses pengambilan balik," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung Jumaat. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan