Hakim Mahkamah Rayuan Menarik Diri Dengar Rayuan Kes Dadah

Diterbitkan: Rabu, 12 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Malik Ishak yang mempengerusikan panel tiga hakim, menarik diri daripada mendengar rayuan dalam kes dadah setelah menerima permohonan untuk beliau berbuat demikian daripada peguam tertuduh Karpal Singh.

Karpal Singh memberikan alasan untuk beliau menarik diri kerana ada usul di Parlimen terhadap hakim itu berkaitan dakwaan plagiat.

"Dengan rasa kesal saya mohon Yang Arif menarik diri daripada mendengar kes ini berikutan satu usul yang saya failkan mengikut Artikel 127 Perlembagaan Persekutuan mengenai salahlaku kehakiman dan satu tribunal ditubuhkan kerana dakwaan plagiat dalam penghakiman yang ditulis oleh seorang hakim Singapura," kata beliau.

Hakim Abdul Malik berkata beliau diarahkan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif untuk mendengar kes itu dan beliau hanya menjalankan tugasnya.

Hakim Abdul Malik kemudian menarik diri dan menetapkan 14 November untuk mendengar rayuan kes itu di hadapan panel lain tanpa beliau mempengerusikan. Timbalan Pendakwa Raya Kwan Li Sa berkata beliau yakin dengan panel hari ini untuk mendengar perkara itu berdasarkan penilaian, fakta dan undang-undang.

Buruh M.Kuna Segaran, 34, membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk sabit kesalahan dan menjatuhkan hukuman terhadapnya sehingga dipenjara 12 tahun dan 10 sebatan rotan mengikut pertuduhan yang dikurangkan kerana memiliki 930.14 gram ganja di sebuah rumah di Jalan Air Hitam, Batu 17 1/2 Puchong, Selangor pada 17 Mei, 2006.

Pada masa yang sama pihak pendakwaan juga membuat rayuan balas.

Kuna Segaran pada mulanya dituduh kerana mengedar dadah tetapi pada akhir kes pendakwaan, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengurangkan pertuduhan itu kepada memiliki dan dia kemudian membuat pembelaan mengikut pertuduhan yang dikurangkan.

Dia membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan memohon untuk dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan