Skandal PKFZ: Tiada Surat Nyatakan RM25 Sekaki Persegi Termasuk Faedah

Diterbitkan: Selasa, 11 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) O.C. Phang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, Selasa bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang surat daripada Kementerian Pengangkutan menyatakan harga tanah di Pulau Indah RM25 sekaki persegi (skp) termasuk faedah.

Phang, 65, berkata Kementerian Kewangan dan syarikat penjual tanah Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) juga tidak memberinya surat sedemikian.

Beliau yang terlibat dalam pembangunan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sejak 1998 berkata isu RM25 skp termasuk faedah hanya diketahuinya pada Januari tahun ini selepas diberitahu dua pegawai penyiasat.

Beliau bagaimanapun mengekalkan kenyataannya bahawa harga tersebut berasingan daripada kadar faedah ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik.

Saksi ke-14 itu turut memberitahu bahawa surat yang dihantar Dr Ling kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyatakan bahawa harga RM25 skp tidak termasuk faedah.

Mengikut eksibit mahkamah, Dr Ling telah menghantar surat tersebut pada 29 Jun 2002 yang meletakkan terma persetujuan bersama pihak KDSB bahawa kadar pembelian tanah adalah sebanyak RM25 skp seperti yang diperakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan Kementerian Kewangan.

Terma itu turut menyatakan bahawa jumlah tanah adalah sebanyak 400 hektar menjadikan jumlah pembelian sebanyak RM1.08 juta dan menetapkan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus.

Sementara itu ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Phang memberitahu bahawa kenyataannya berkenaan bon adalah atas dasar ingatan beliau dan laporan yang diterimanya.

Semalam beliau menjelaskan bahawa isu bon tidak pernah dibincangkan dan tidak mengetahui bahawa JPPH mencadangkan nilaian tanah sebanyak RM25 untuk pengeluaran bon.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000, sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon dan faedah.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling, 68, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 Noveber 2002.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung Khamis. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan