Satu Lagi 'Perbicaraan Dalam Perbicaraan' Dalam Kes Pembunuhan Sosilawati

Diterbitkan: Selasa, 11 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Perbicaraan hari ke-41 kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menyaksikan prosiding "perbicaraan dalam perbicaraan" ketiga dijalankan.

Hakim Datuk Akhtar Tahir mengarahkan prosiding itu diadakan bagi menentukan sama ada saksi ke-59 pendakwaan, K.Sarawanan, ada memberi kenyataan kepada polis berhubung kes itu berikutan kenyataan pihak pendakwaan bahawa saksi berkenaan memberi lima keterangan bercanggah di mahkamah dan mahu mencabar kebolehpercayaannya.

Sarawanan, 19, sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.

Sebelum ini, prosiding perbicaraan dalam perbicaraan pertama diadakan bagi menentukan kebolehterimaan isi kandungan rakaman percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah milik saksi ke-29 pendakwaan, U.Suresh, yang juga sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana kesalahan serupa.

Prosiding perbicaraan dalam perbicaraan kedua diadakan bagi menentukan kebolehterimaan maklumat yang membawa kepada penemuan eksibit-eksibit dalam kes itu oleh tertuduh kedua dan ketiga, T.Thilaiyalagan dan R.Kathavarayan, kepada pihak polis.

Sarawanan dan Suresh memberi keterangan pada perbicaraan bekas peguam N.Pathmanabhan bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, R.Matan dan Kathavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai Bank Noorhisham Mohamad, 38, di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Saksi pertama perbicaraan dalam perbicaraan ketiga, pegawai penyiasat kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, ASP Wan Aeidil Wan Abdullah, 32, berkata beliau telah merakam percakapan Sarawanan di bilik reman Penjara Sungai Udang pada 26 Oktober tahun lepas.

Beliau berkata rakaman percakapan Sarawanan dibuat dari 3 petang sehingga 6.20 petang hari sama dengan menggunakan khidmat seorang jurubahasa Tamil yang juga anggota polis, Koperal K.Singgaram.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, saksi itu berkata beliau mencatatkan percakapan Sarawanan menggunakan aplikasi 'Word' dalam komputer riba milik pegawai penyiasat ASP Mohd Ishak Yaakob.

"Sebelum cetak, saya, jurubahasa dan Sarawanan semak semula rakaman percakapan itu. Selepas mencetaknya saya bacakan semula dengan diterjemahkan oleh jurubahasa dan selepas (Sarawanan) setuju, kami turunkan tanda tangan," katanya.

"Adakah awak tanya sama ada Sarawanan nak buat pindaan terhadap statement itu," soal Ishak.

"Ya, tetapi dia (Sarawanan) setuju dan berpuas hati dengan apa yang dirakamkan pada masa itu. Tanda tangan diturunkan selepas saya memberikan penjelasan kepadanya," kata Wan Aeidil.

Perbicaraan disambung Khamis ini. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan