O.C. Phang Jawab 'Tak Tahu' Semasa Disoal

Diterbitkan: Isnin, 10 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), O.C.Phang hari ini memberi jawapan 'tidak tahu' dan 'tidak ingat' ketika disoal oleh pendakwaan pada kes penipuan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik di Mahkamah Tinggi di sini, Isnin.

Katanya sepanjang pembabitannya dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), beliau tidak tahu nilai tanah sebanyak RM25 sekaki persegi (skp) membabitkan keluaran bon.

Phang berkata isu bon hanya diketahui pada Januari tahun ini setelah dimaklumkan oleh seorang pegawai penyiasat ketika disoal.

Saksi ke-14 pendakwaan itu merupakan individu yang menandatangani perjanjian jual beli tanah di Pulai Indah dengan syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) bagi projek PKFZ.

Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Phang berkata beliau tidak pernah membentangkan isu bon dalam mesyuarakat Lembaga LPK kerana tugasnya hanya tertumpu kepada soal output.

Katanya beliau tidak tahu langsung pengertian bon dan pada ingatannya isu bon pernah dibangkitkan oleh KDSB dalam satu surat tetapi tidak dibincangkan dalam mesyuarat.

Katanya, setiap mesyuarat berlangsung selama dua jam sahaja dan kadang-kadang tidak sempat membaca draf minit mesyuarat.

Ditanya adakah beliau maklum dengan cadangan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bahawa nilai tanah sebanyak RM25 skp untuk keluaran bon, Phang berkata: "Tidak tahu."

Mengikut eksibit yang ditandakan di mahkamah, surat daripada Ketua Pengarah JPPH Datuk Sahari Mahadi bertarikh 29 September 2000 telah meletakkann nilaian RM25 skp dengan bon dan beberapa mesyuarat dicatatkan membincangkan perkara yang sama.

Mengenai terma perjanjian persetujuan bersama KDSB, Phang berkata perjanjian sebegitu sepatutnya disediakan oleh pegawai perancang tetapi bagi projek PKFZ, ia disediakan oleh orang lain namun tidak ingat oleh siapa.

Dr Ling, 68, bekas Presiden MCA, didakwa melakukan penipuan dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Perbuatan itu didakwa berlaku antara 25 September hingga 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Asnawi bersambung sebelah petang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan