Tuntutan Palsu: Kontraktor Dan Juruteknik Dihukum Penjara Empat Tahun - Berita Mahkamah | mStar

Tuntutan Palsu: Kontraktor Dan Juruteknik Dihukum Penjara Empat Tahun

Diterbitkan: Jumaat, 7 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Dua lelaki, masing-masing kontraktor dan juruteknik Jabatan Kerja Raya (JKR) dikenakan hukuman penjara empat tahun mulai hari ini dan denda RM144,709.65 atas kesalahan membuat tuntutan palsu pada 2005.

Hakim Mahkamah Sesyen Ikmal Hishan Ahmad Tajuddin menjatuhkan hukuman berkenaan setelah mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh.

Beliau juga menetapkan agar kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan pada hari ini dan sekiranya gagal mereka boleh dikenakan hukuman penjara empat bulan.

Tertuduh pertama, Ramli Bakar, 52, seorang kontraktor didakwa membuat tuntutan palsu RM40,303.06 bagi kerja-kerja pemasangan pagar, manakala tertuduh kedua Abdul Rashid Abdullah, 57, seorang juruteknik di JKR Seberang Perai Utara (SPU) dituduh bersubahat dengan memperakui tuntutan yang dibuat Ramli.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada Julai 2005 di pejabat JKR, SPU.

Menurut kertas pertuduhan, Ramli didakwa membuat tuntutan palsu bagi pemasangan pagar sepanjang 405 meter dengan nilai RM11,323.80 sedangkan ukuran sebenar adalah 162.2 meter.

Ramli juga didakwa membuat tuntutan palsu RM28,979.26 bagi pemasangan tiang pagar sedangkan nilai sebenar hanyalah RM6,826.02.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Janariah Abdul Mutalib manakala tertuduh diwakili peguam bela R.S.N Rayer. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan