Pakar Ortopedik Dakwa Anwar Tidak Boleh Lakukan Seks

Diterbitkan: Jumaat, 7 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pakar Ortopedik, Dr Thomas Hoogland memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh melakukan aktiviti yang melibatkan pergerakan pantas termasuklah aktiviti seksual.

"Apabila kita mengambil kira aktiviti seksual, ia adalah agak mustahil untuk Anwar melakukan pergerakan membongkok ke hadapan atau kebelakang akan menyebabkan rasa sakit di bahagian belakang badan beliau," kata Hoogland semasa disoal peguam S. N Nair.

Saksi pembelaan ketujuh itu seterusnya menambah, pendapat tersebut dibuat setelah mengambil kira sejarah dan pemeriksaan, usia serta ujian saringan resonan magnetik (MRI) yang dijalankan ke atas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden 'bersenjatakan' rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam usaha untuk mencabar keterangan Hoogland yang menyatakan bahawa kecederaan yang dialami Anwar menyebabkan beliau tidak boleh membongkokkan badan.

Rakaman CCTV bertarikh 26 Jun 2008 yang dipancarkan ke skrin layar di mahkamah jelas menunjukkan imej seorang lelaki yang didakwa Anwar memasuki lif dan dilihat membongkok sebanyak dua kali tanpa sebarang masalah untuk mengambil kot dan beg sebelum meninggalkan lif terbabit.

Mohd Yusof: Adakah Anwar boleh melakukan sebegitu (membongkok)? Atau adakah kamu mahu melihat rakaman itu sekali lagi?

Hoogland: Saya mahu melihat sekali lagi kerana kadar kelajuannya sangat pantas. Ia lebih laju daripada kelajuan biasa, Pada satu peringkat kelajuannya adalah biasa, tetapi di satu tahap lain ia agak laju. Manusia tidak berjalan pada kadar kepantasan itu.

Mohd Yusof: Kamu boleh lihat terdapat kiraan tempoh masa pada rakaman.

Hoogland: Saya melihat seorang lelaki seperti Anwar boleh membongkokkan badan. Tetapi saya tidak pernah mengatakan Anwar tidak boleh berbuat demikian, saya hanya memberitahu Anwar akan mengalami rasa sakit jika beliau membongkok dan perlu melakukan perbuatan itu dengan kadar yang perlahan.

Pada keterangan lain, Hoogland juga memberitahu bahawa beliau tidak bersetuju dengan cadangan yang diutarakan oleh Mohd Yusof bahawa punca sakit tulang belakang Anwar adalah disebabkan oleh faktor pertambahan usia.

"Berdasarkan sejarah perubatan Anwar, adalah lebih dipercayai kesakitan tulang belakang yang dialaminya berpunca daripada serangan oleh pihak polis pada tahun 1998," tambah Hoogland.

Pakar yang mengetuai operasi pembedahan bagi membetulkan tulang belakang Anwar di Klinik Alpha, Munich, Jerman pada 6 September lalu juga berkata, kerosakan tersebut adalah bersifat kekal, kerana tiada rawatan yang benar-benar dapat menyembuhkan kecederaan akar sarat.

"Kita hanya boleh membaikinya," katanya dan menambah, pesakit juga digalakkan untuk terus bergerak secara aktif dalam gerakan perlahan, dan bukannya duduk atau berbaring sahaja semasa berada dalam tempoh pemulihan.

Terdahulu, soalan berhubung anatomi manusia yang diajukan oleh Mohd Yusof menyebabkan Hoogland secara berseloroh mengatakan Mohd Yusof 'lulus' dalam ujian anatomi.

Mohd Yusof: Saya juga merasakan saya mempunyai masalah stenosis kerana saya banyak berdiri. Tetapi saya akan mengambil ubat dan ia akan hilang.

Hoogland: Anda bertuah kerana tidak mempunyai masalah artritis. (Saksi seterusnya ketawa apabila menyedari bahawa beliau baru sahaja memberikan rundingan perubatan secara percuma).

Prosiding seterusnya dijalankan secara tertutup kerana Mohd Yusof berhasrat untuk menyoal balas saksi berhubung keterangan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang menyentuh mengenai kejadian liwat tersebut. Prosiding itu berjalan selama kira-kira 15 minit.

Nair seterusnya memberitahu media bahawa pihaknya akan memanggil bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof sebagai saksi pembelaan.

"Saya juga dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan juga berhasrat untuk memanggil dua atau tiga saksi mereka bagi mematahkan keterangan yang dikemukakan oleh saksi pembelaan," kata Nair.

Bagaimanapun, Nair tidak dapat memastikan sama ada saksi tersebut adalah seorang pakar, namun tidak menolak kemungkinan antara keterangan yang akan cuba dicabar pendakwaan melibatkan keterangan oleh Hoogland.

Anwar, 64, sedang membela diri atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, pada antara pukul 3.10 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008 di Unit 11-51-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah akan bersambung pada 17 hingga 20 Oktober ini.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan