Perjanjian Pembelian Tanah Di Pulau Indah Tetapkan Faedah Berganda

Diterbitkan: Khamis, 6 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu pada Khamis bahawa terma perjanjian pembelian tanah di Pulau Indah antara Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) menetapkan kadar faedah berganda.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Datuk Abdul Rahim Mokti berkata menerusi lampiran yang diserahkan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad oleh bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, dicatatkan harga pembelian pada kadar RM25 sekaki persegi (skp) termasuk faedah.

Bagaimanapun pada terma berasingan, dicatatkan juga kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun, katanya pada perbicaraan Dr Ling, Khamis.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000, sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon dan faedah.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling, 68, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002.

Abdul Rahim, yang merupakan saksi pendakwaan ke-13, berkata jumlah pembayaran bagi 999.5 ekar adalah sebanyak RM1,088,456,000 tetapi nilai itu bertambah ekoran faedah 7.5 peratus.

Beliau berkata lampiran mengenai terma itu tidak pernah dikemukakan kepadanya untuk diberi ulasan atau cadangan.

Selain itu, Abdul Rahim berkata pada 15 November 2002, bekas Pengurus Besar LPK O.C Phang telah memberi taklimat tentang pembelian tanah dan menyatakan Kabinet bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Ketika mesyuarat itu, Abdul Rahim berkata beliau mengingatkan LPK supaya memastikan harga tanah hanya pada kadar RM25 skp tanpa mengetahui bahawa LPK telah menandatangani perjanjian dengan KDSB pada 12 November 2002. "Saya tidak dimaklumkan atau diberi taklimat mengenai perjanjian ini oleh Phang dan juga jemaah LPK," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Abdul Rahim berkata sepanjang memegang jawatan sebagai anggota Lembaga Pengarah LPK pada 2002 hingga 2004, beliau juga tidak pernah menerima perjanjian jual beli antara kedua-dua pihak itu.

Ditanya sama ada beliau mengetahui KDSB telah mengeluarkan bon bagi urusan pembelian tanah berkenaan, Abdul Rahim berkata: "Saya hanya tahu bon akan dikeluarkan. Bentuk bagaimana saya tidak tahu."

Kenyataan Abdul Rahim itu mengejutkan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi sehingga membuatkan beliau bertanya beberapa kali siapakah yang mengeluarkan bon kerana KDSB merupakan syarikat penjual tanah.

Tun Majid bagaimanapun menegaskan bahawa KDSB bertanggungjawab mengeluarkan bon dan ia akan dibuktikan menerusi saksi yang lain.

Perbicaraan disambung Jumaat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan