Pergerakan Badan Anwar Terhad Selepas Dibedah - Pakar

Diterbitkan: Khamis, 6 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pakar bedah tulang Dr Thomas Hoogland memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pembedahan tulang belakang dilakukannya ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperbaiki cara dia (Anwar) berjalan tetapi pergerakan badannya adalah terhad.

Pakar dari German itu berkata sebelum pembedahan itu Anwar hampir tidak boleh berjalan langsung. Semasa pemeriksaan utama disoal oleh S N Nair, peguam pihak Anwar, beliau menjawab meskipun pembedahan pada mulanya menolong Anwar bergerak namun pemeriksaannya ke atas Anwar pada 8 September tahun ini mendapati putaran sendi kedua-dua pinggulnya terhad. "Terasa sakit belakang semasa meluruskannya lima darjah dengan hadnya sehingga 10 darjah. "Jelas tapak kaki kirinya lemah dan juga ibu jari kaki, dan terasa kebas dan kehilangan rasa di bahagian sendi lutut kiri," kata Dr Hoodland semasa merujuk pada laporan perubatannya di Hospital Munich, bertarikh 8 September 2011. Beliau memberi keterangan ini di perbicaraan ke atas Anwar, 64, yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26.

Anwar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008 atas tuduhan meliwat Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Ketika disoal seterusnya oleh Nair mengenai keadaan perubatan Anwar terutama sekali komplikasi tulang belakangnya sama ada dia boleh melutut untuk sembahyang, Dr Hoogland berkata dia (Anwar) dinasihatkan tidak membengkokkan 90 darjah.

"Saya memberi amaran kepadanya tentang sakit jika bergerak sedemikian dan menasihatkannya melakukan dengan perlahan (sembahyang)," kata saksi pembela yang ketujuh itu. Dr Hoogland berkata Anwar juga mengidap arthritis di bahagian sendinya.

Menjawab soalan lain untuk membandingkan pemeriksaannya ke atas Anwar pada 2008 dengan laporan perubatannya yang terakhir (8 Sept 2011), beliau berkata keadaan Anwar bertambah buruk dan salah satu otot belakangnya merosot akibat diserang polis pada 1998. Anwar telah diserang oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor semasa dalam tahanan polis di Bukit Aman.

Di akhir perbicaraan pada Khamis, keterangan Dr Hoogland dibuat secara tertutup.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah disambung Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam pihak Anwar, Karpal Singh memberitahu pemberita beliau akan memfail rayuan terhadap keputusan hakim membenarkan permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengenepikan sapina menghendaki mereka menjadi saksi pembela kepada Anwar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan