Phang Enggan Rujuk Terma Pembelian Tanah Dengan Peguam Negara - Saksi

Diterbitkan: Selasa, 4 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang penasihat undang-undang Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa bekas Pengurus Besarnya O.C.Phang enggan merujuk kepada Peguam Negara berhubung terma pembelian tanah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Fazilah Surkisah Mohammad, 47, berkata beliau memberi nasihat supaya Phang berbuat demikian sebelum dan selepas menandatangani perjanjian jual beli bagi memastikan tiada sebarang percanggahan dalam perjanjian tersebut.

Katanya Phang tidak bersetuju dengan nasihatnya atas tiga sebab iaitu tidak menjadi amalan LPK untuk merujuk sebarang perjanjian kepada Peguam Negara.

Kedua, katanya, kelewatan menyelesaikan isu tanah hingga menyebabkan syarikat Jabel Ali mengugut untuk menarik diri daripada projek itu dan akhirnya Phang berpandangan bahawa permintaan LPK kepada Peguam Negara tidak akan mendapat keutamaan kerana ia badan berkanun.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dalam perbicaraan kes melibatkan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik.

Selain itu, Fazilah berkata kesemua maklumat di dalam perjanjian jual beli tanah adalah mengikut arahan Phang tanpa sebarang input tambahan daripadanya.

Katanya Phang hanya meminta beliau mengkaji sama ada terma yang terkandung di dalam perjanjian antara LPK dan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) itu selaras dengan keputusan jemaah LPK.

Beliau berkata draf perjanjian itu disediakan oleh Tetuan Rashid Asari & Co yang mewakili LPK setelah dilantik oleh Phang dan jemaah LPK.

Menurut Fazilah tiada sebarang pindaan dibuat ke atas draf perjanjian itu dan beliau hanya memperbetulkan dari sudut ejaan sebelum diserahkan kepada peguam untuk ditandatangani pihak bertanggungjawab.

Di awal prosiding, Fazilah yang merupakan saksi kesembilan pendakwaan memberitahu bahawa beliau tidak pernah dipanggil oleh Phang untuk berbincang terlebih dahulu sebelum mesyuarat bagi projek PKFZ.

Sebaliknya, katanya beliau hanya mengetahui maklumat perbincangan pada hari mesyuarat sahaja.

Fazilah berkata walaupun jawatannya sebagai penasihat undang-undang tetapi ketika mesyuarat beliau hanya bertindak sebagai setiausaha dan mencatat minit.

Sementara itu, bekas Pengerusi LPK Tan Sri Dr Ting Chew Peh, 68, berkata LPK telah membuat keputusan untuk membeli tanah pada Disember 2001 walaupun kadar faedahnya dinaikkan kepada 7.5 peratus.

Bagaimanapun, katanya, kadar itu adalah ekoran pemanjangan tempoh pembayaran sehingga 15 tahun berbanding 10 tahun sebelum ini.

Tambahnya sepanjang bermesyuarat berhubung pembelian dengan kadar 7.5 peratus ini, tiada seorang pun daripada wakil Kementerian Kewangan membuat bantahan.

Dr Ling, 68, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000, sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi disambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan