Mohd Saiful Anti Anwar

Diterbitkan: Selasa, 4 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas rakan seuniversiti Mohd Saiful Bukhari Azlan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, bahawa lelaki tersebut mempunyai perasaan anti terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai seorang munafik.

Mohd Najwan Ali, 26, menambah, sikap tidak suka kepada Anwar telah ditunjukkan oleh Mohd Saiful semasa mereka sama-sama menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi swasta di Bangi, dekat sini pada tahun 2003.

Sebagai contoh, saksi yang merupakan pegawai di pejabat Penasihat Ekonomi Selangor berkata, Mohd Saiful ada meletakkan gambar Anwar bersama dengan keterangan 'Anwar Ibrahim pemimpin munafik' pada akaun laman sosial, Friendster miliknya.

"Mohd Saiful suka memasukkan gambar-gambar dia bersama dengan pemimpin negara. Saya pernah lihat gambar Mohd Saiful bersama dengan beberapa orang menteri, iaitu Tan Sri Hamid Albar, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Datuk Azlina Othman," katanya dan menambah, laman web tersebut dilayari pada sekitar tahun 2008.

Selain itu, Mohd Najwan yang sebelum ini digembur-gemburkan sebagai saksi misteri kepada Anwar juga memberitahu, Mohd Saiful turut memuatkan lambang Barisan Nasional (BN) pada laman sosial itu bersama dengan keterangan gambar 'Undilah BN'.

Berdasarkan pengetahuan bahawa Mohd Saiful adalah seorang yang pro kepada kerajaan, Mohd Najwan mengakui beliau berasa terkejut apabila mendapat tahu lelaki tersebut bekerja dengan Anwar semasa mereka berjumpa di satu kempen politik di Subang Jaya, dekat sini pada penghujung Februari 2008.

"Mohd Saiful tidak pernah memandang tinggi pada Anwar dan juga tidak pernah menjadikan Anwar sebagai idolanya," kata saksi pembelaan ke-enam itu semasa menjawab soalan daripada peguam S. N Nair.

Bertitik tolak daripada perasaan sangsi itu juga, Mohd Najwan mengakui bahawa dia telah menghantar mel elektronik yang memaklumkan peribadi Mohd Saiful kepada Anwar.

Sementara itu, semasa diminta untuk menggambarkan peribadi Mohd Saiful di universiti, saksi itu menyifatkan lelaki tersebut sebagai seorang yang mempunyai sifat kepimpinan sehingga dipilih untuk menjadi Timbalan Presiden Pelajar bagi tahun 2006 hingga 2007 selain aktif dalam pelbagai program anjuran mahasiswa.

Tambahnya, sebagai seorang pemimpin di universiti, Mohd Saiful juga menyeru agar mahasiswa memberi sokongan kepada kerajaan atas alasan terhutang budi kepada pihak yang memerintah.

"Cuma ada beberapa isu pada Mohd Saiful yang tidak begitu elok iaitu dia seorang yang suka publisiti dan perhatian," tambah saksi yang pernah bekerja sementara dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dia seterusnya menambah, mereka pernah terlibat dalam satu program anak angkat dan Mohd Saiful pada masa itu dilantik sebagai ketua pengarah program manakala dia sebagai setiausaha.

"Semasa kami berbincang, Mohd Saiful banyak memberi arahan dan saya yang banyak membuat kerja, tetapi apabila mesyuarat diadakan, dia akan menonjolkan diri," katanya.

Mohd Najwan juga memberitahu, Mohd Saiful juga menggunakan jaringannya untuk mendapatkan Syed Hamid Albar (semasa itu sebagai Menteri Luar Negeri) untuk merasmikan program tersebut, yang pada hematnya agak sukar untuk seorang penuntut berbuat demikian, melainkan jika mempunyai 'kabel'.

Beliau pada keterangannya juga menafikan ada mempunyai perasaan iri hati terhadap Mohd Saiful dan menambah hubungan mereka adalah baik, walaupun setelah Mohd Saiful dibuang daripada universiti.

Menjawa soalan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, saksi memberitahu Mohd Saiful ada menyifatkan Anwar sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai semasa mereka berbincang mengenai politik.

Mohd Yusof: Apa perlunya kamu untuk menghantar mel elektronik kepada Anwar?

Mohd Najwan: Saya berasakan Mohd Saiful tidak sesuai bekerja dengan Anwar.

Mohd Yusof: Kamu rasakan kamu lebih layak kerja dengan Anwar?

Mohd Najwan: Saya tidak rasa begitu. Selepas dia kerja dengan Anwar, dia masih berkempen untuk BN sedangkan dia pusing satu negara dengan Anwar. Beliau juga pada keterangannya mengakui adalah sesuatu yang normal jika seseorang suka mengambil gambar bersama menteri di dalam sesuatu majlis.

Perbicaraan hari ini juga menyaksikan Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Lim Kong Boon, 57, memberi keterangan bahawa jabatan tersebut memperoleh sijil akreditasi daripada American Society Of Crime Laboratory Directrors (ASCLD).

Isu akreditasi itu dibangkitkan oleh peguam Ramkarpal Singh yang merujuk kepada tempoh lanjutan masa sebanyak tiga kali yang diterima oleh jabatan tersebut daripada ASCLD dan lanjutan masa yang terakhir akan tamat tempoh pada 18 Januari 2012.

Menjelaskan perkara itu, Lim berkata tempoh lanjutan masa tersebut diberikan kerana jabatan berkenaan dalam proses pertukaran daripada 'program legacy' kepada 'program international' di bawah kendalian ASCLD.

Anwar, 64, sedang membela diri atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, yang merupakan bekas pembantunya dan kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dekat sini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersambung pada Khamis dan pihak pembelaan dijadualkan memanggil pakar bedah tulang belakang, Dr Thomas Hoogland.

Hoogland dilaporkan adalah doktor yang mengetuai pasukan pakar yang terlibat dalam rawatan membetulkan tulang belakang Anwar di klinik Alpha di Munich, Jerman.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan