Metroplex Gagal Dapatkan Perintah Penangguhan Interparte

Diterbitkan: Selasa, 4 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Metroplex Holdings Sdn Bhd gagal pada Selasa mendapatkan perintah interparte dari Mahkamah Persekutuan di sini bagi menangguhkan keputusan yang mengisytiharkan OSK Trustees Berhad sebagai pemegang amanah bagi Sunway Real Estate Investment Trust (Sunreit), selaku pemilik sah Putra Place. Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Ahmad Ma'arop sebulat suara menolak permohonan syarikat itu bagi penangguhan keputusan mahkamah rayuan berkenaan sementara menunggu keputusan permohonannya (Metroplex) bagi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan. Pada 27 September, mahkamah rayuan itu menyokong keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan OSK Trustees sebagai pemilik sah kompleks komersial itu yang mengandungi sebuah mall beli-belah, blok pejabat, apartmen, dan sebuah hotel lima bintang serta tempat meletak kereta. Pada hari berikutkanya, Metroplex mendapat perintah sementara dari Mahkamah Persekutuan untuk menangguhkan keputusan mahkamah rayuan itu sehingga menunggu keputusan permohonan hari ini bagi perintah penangguhan interparte. Sementara itu, Metroplex telah memfail permohonan untuk kebenaran merayu terhadap keputusan mahkamah rayuan yang menunggu di Mahkamah Persekutuan. Hakim Hashim juga memerintahkan Metroplex membayar OSK Trustees dan Sunreit masing-masing sejumlah RM15,000 sebagai kos guaman.

Dalam keputusannya, Hashim berkata mahkamah mendapati tidak wujud keadaan khusus bagi meluluskan penangguhan kerana ia menjadi akademik sejak OSK Trustees dan Sunreit memiliki Putra Palace sebelum Metroplex mendapat penangguhan sementara. Dalam prosiding sebelumnya, peguam OSK Trustees Lambert Rasaratnam memberitahu mahkamah bahawa responden memiliki harta itu pada kira-kira 11 pagi 28 September dan Metroplex telah bekerjasama dalam penyerahan harta berkenaan. Beliau berkata Metroplex kemudian menerima perintah dari Mahkamah Persekutuan untuk penangguhan sementara pada kira-kira 4.30 petang hari yang sama. Peguam Metroplex Datuk Harpal Singh Grewal berhujah bahawa terdapat keadaan khusus bagi mahkamah memberikan perintah penangguhan kepada Metroplex kerana beliau berkata hal itu boleh membawa kepada gangguan awam dan pelanggaran hubungan perundangan antara pemilik dulu dengan penyewa sekarang. OSK Trustees Berhad telah berjaya memiliki Putra Place pada satu lelongan awam pada 30 Mac tahun ini bagi pihak Sunway REIT dengan harga belian RM513.945 juta.

Metroplex telah menggadaikan tanah itu kepada Commerce International Merchant Bankers Bhd (CIMB) menerusi gadaian pihak ketiga bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan kepada syarikat itu.

Metroplex gagal membuat bayaran balik dan CIMB mendapat perintah untuk jualan bagi menutup hutang.

Sunreit diwakili peguam David Lingam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan