Konstabel Tembak Isteri Dihukum Penjara Tujuh Tahun

Diterbitkan: Selasa, 4 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, memerintahkan seorang anggota polis berpangkat konstabel menjalani hukuman penjara tujuh tahun selepas didapati bersalah menembak isterinya.

Hakim Mohamad Sakeri Mamat memerintahkan hukuman terhadap T. Ravindran, 31, berjalan pada hari ini, bagaimanapun beliau membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan kerana tertuduh berhasrat mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagi tujuan penangguhan itu, Mohamad Sakeri memerintahkan agar tertuduh menjelaskan jaminan sebanyak RM10,000.

Pada penghakimannya, Mohamad Sakeri berkata mahkamah menolak pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh kerana perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan sejak awal perbicaraan.

Ravindran didkawa menembak G Prema, 25, dengan menggunakan sepucuk revolver .38 Smith & Wesson yang boleh menyebabkan kematian di Blok D-10-09, Program Perumahan Rakyat Kerinchi, Pantai Dalam, Brickfields, pada pukul 9.40 malam, 2 Mac 2010.

Anggota polis yang telah sembilan tahun berkhidmat itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim manakala tertuduh diwakili peguam S.M Naraisami Alagu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan