Dua Anggota Polis Dipenjara Empat Tahun Kerana Cederakan Tahanan

Diterbitkan: Selasa, 4 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis berpangkat Sarjan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, masing-masing dijatuhi hukuman empat tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan mencederakan dua tahanan dalam kejadian berasingan di IPD berkenaan.

Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Sarjan Mohd Shafiee Abdul Halim, 48, dan Sarjan Mohd Diah Sulaiman, 48.

Beliau memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman itu mulai hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga selesai rayuan di Mahkamah Tinggi yang dipohon melalui peguam bela Afifuddin Mohd Hafifi dan Nordin Kasim yang mewakili Mohd Shafiee dan Mohd Diah.

Beliau kemudian mengarahkan jaminan kedua-dua tertuduh ditambah RM5,000 menjadi RM10,000.

Abu Bakar dalam penghakimannya berkata selepas mahkamah berpeluang melawat ke tempat kejadian ia mendapati sukar untuk menerima keterangan tertuduh yang menafikan tidak mengetahui ada soal siasat dijalankan terhadap mangsa dan kejadian mangsa dicederakan.

Katanya keterangan tertuduh sukar diterima mahkamah memandangkan lokasi antara bilik tertuduh dengan tempat kejadian adalah bersebelahan.

Beliau berkata mahkamah turut mendapati pembelaan tertuduh juga adalah bersifat 'keterangan yang difikirkan kemudian' berikutan ada isu yang tidak dibangkitkan di peringkat pendakwaan.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa dengan sengaja mencederakan B. Prabakar, 31, dan C. Solomon Raj, 21, di pejabat detektif, IPD itu antara 10.15 malam 23 Disember hingga 3.30 pagi 24 Disember 2008.

Tuduhan adalah mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman tujuh tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt mengemukakan 14 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan sepanjang prosiding itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan