Tiga Beranak Peneraju Noradz Travel & Services Dihukum Penjara, Denda

Diterbitkan: Isnin, 3 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang penerbit filem, Datuk Adzhar Sulaiman dan dua anak perempuannya yang menerajui syarikat pelancongan, Noradz Travel & Services pada Isnin, dihukum penjara dan denda selepas disabitkan bersalah atas tuduhan menerima deposit berjumlah lebih RM100 juta tanpa lesen dan 360 tuduhan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM59 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozana Ali Yusoff memerintahkan Adzhar, 56, dihukum penjara selama dua tahun dan menjelaskan denda RM1 juta atau berhadapan dengan penjara 10 bulan, bagi kesalahan mengambil deposit tanpa lesen, dan bagi tuduhan mengubah wang haram, dia dihukum penjara selama tiga tahun.

Sementara itu, anak perempuannya, Noradzma, 35, yang turut menghadapi tuduhan mengambil deposit secara haram dihukum penjara selama setahun dan denda RM500,000 atau jika gagal membayarnya diarahkan menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

Selain itu, Noradzma yang berstatus ibu tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan berusia lapan tahun juga diarahkan untuk menjalani hukuman penjara selama dua tahun atas kesalahan menggubah wang haram.

Syarikat Noradz Travel & Services juga diarahkan untuk menjelaskan denda sebanyak RM5 juta atas tuduhan mengambil deposit tanpa lesen yang sah.

Pada prosiding sama, seorang lagi anak wanita Adzhar, Noradzrin, 26, yang pernah mencuba nasib dalam bidang seni menerusi lagu Pujaan Malaya juga diarahkan untuk menjalani hukuman penjara selama setahun atas tuduhan menggubah wang haram.

Pada penghakimannya, Rozana berkata pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi danm pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

"Keterangan yang dikemukakan oleh tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata tanpa disokong oleh keterangan lain, selain keterangan tersebut juga tidak konsisten dan sering berubah-ubah. Ini mengakibatkan mahkamah sukar untuk mempercayai keterangan bersumpah tertuduh," kata Rozana.

Rozana juga menolak pembelaan tertuduh yang mendakwa mereka tidak mempunyai pengetahuan berhubung perjalanan syarikat kerana berpendapat keterangan yang dikemukakan di mahkamah pada perbicaraan menunjukkan semua tertuduh memainkan peranan yang aktif dalam syarikat tersebut.

Selain itu, Rozana turut mengharapkan supaya hukuman yang dijatuhkan beliau akan menginsafkan tertuduh-tertuduh supaya mereka semua boleh kembali semula ke pangkal jalan.

"Mencari kekayaan bukan dengan cara ini, mengambil kesempatan terhadap orang ramai yang tidak mengetahui perjalanan perniagaan kamu," tambahnya. Rozana seterusnya membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara yang dimohon oleh peguam Afifuddin Mohd Hafifi kerana akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, dan memerintahkan supaya jaminan tertuduh sebanyak RM1 juta dengan cagaran RM500,000 ditambah lagi RM500,000. Pada 22 Disember 2009, Adzhar mengaku tidak bersalah atas 28 pertuduhan terlibat dalam pengurupan wang haram manakala Noradzma dan Noradzrin masing-masing menghadapi 166 pertuduhan.

Mereka didakwa menggunakan wang haram tersebut membeli beberapa hartanah di Perak dan Pahang serta membeli produk insurans selain pelaburan dan memindahkan wang ke dalam akaun milik anak syarikat tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bebarapa buah bank di sekitar ibu negara seperti EON Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Ambank (M) Berhad antara 14 Ogos 2007 dan 6 Januari 2009.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, syarikat tersebut, Adzhar dan Noradzma turut didakwa atas kesalahan menerima deposit daripada orang awam tanpa memegang lesen yang sah di antara Julai 2006 hingga Oktober 2008 di No 14-1A, Jalan 3/10, Pandan Jaya, di sini.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa di bawah seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989(Akta 372) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Syarikat Noradz mempunyai beberapa rangkaian syarikat yang terlibat dalam perniagaan penyewaan kereta, agensi pelancongan, pelaburan dan penerbitan filem seperti filem lakonan Saiful Apek bertajuk ‘Shhh...Dia Datang’ dan beberapa drama.

Pada prosiding itu, pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman dan Pegawai-Pegawai Pendakwa dari Bank Negara, Anthony Kularaj Kulasingam dan Fahmi Abd Moin manakala tertuduh diwakili peguam Afifuddin Mohd Hafifi. Sehingga berita ini ditulis, tertuduh masih belum menjelaskan denda.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan