Seorang Lagi Pengarah Red Cafe Mengaku Salah Tipu Pelabur

Diterbitkan: Khamis, 29 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang lagi pengarah Island Red Cafe Franchise Sdn Bhd mengaku bersalah menipu pelabur. Menurut kenyataan akhbar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini mensabitkan Ong Tong Swan kerana melakukan kesalahan mengikut seksyen 27, seksyen 363 (5) dan seksyen 366 (3) Akta Syarikat 1965.

Dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 atau penjara 20 bulan kerana kesalahan itu mengikut seksyen 366(3) Akta Syarikat 1965 serta penjara sehari dan denda RM40,000 atau penjara 30 bulan berkaitan pertuduhan mengikut seksyen 363(5) Akta Syarikat 1965.

Sebagai tambahan, mahkamah turut menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM30,000 atau penjara 30 bulan berkaitan sabitan mengikut seksyen 27(1) Akta Syarikat 1965, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam mengarahkan supaya hukuman penjara berjalan serentak.

Pada Februari tahun lepas, Ong didakwa oleh SSM berkaitan skim pelaburan Island Red Cafe yang menarik kira-kira 1,500 pelabur dalam skim berkenaan. Ketika kesalahan itu dilakukan, Ong menjadi pengarah Island Red Cafe Franchise Sdn Bhd.

"Pada kemuncak operasi skim pelaburan haram, syarikat itu mengutip kira-kira RM9 juta daripada orang ramai," menurut kenyataan itu.

Pada 12 Ogos, dua bekas pengarah syarikat berkenaan, Teow Wooi Huat dan Teow Chee Chow, turut dijatuhi hukuman penjara sehari serta didenda masing-masing RM90,000 dan RM70,000. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan