ASP Didakwa Terima Rasuah RM4,000

Diterbitkan: Khamis, 29 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tuduhan menerima rasuah bernilai RM4,000 bagi meringankan kesalahan seorang lelaki yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah, tahun lalu.

Tertuduh, ASP Azmi Abdullah, 53, yang merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang, dekat sini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Azmi didakwa menerima suapan itu daripada Ng Zho Wei pada pada pukul 7.05 malam, 26 November 2010 di bilik pejabatnya di Bahagian sisatan narkotik, IPD Sepang, Lorong LP 2A/1, Taman Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri kembangan.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk dia menukar kesalahan yang lebih ringan terhadap rakan Ng, Mong Lin Chi yang ditangkap kerana memiliki satu tiub straw berisi dadah ketamin di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menukar ujian saringan air kencing yang positif dadah kepada negatif di bawah seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hung Heng Hong mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Peguam Salim Bashir yang mewakili Azmi merayu mahkamah mengurangkan jaminan bernilai RM10,000 yang ditawarkan oleh Hung kerana anak guamnya perlu menyara keluarga selain telah membayar wang jaminan sebanyak RM5,000 kepada SPRM.

Mat Ghani membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan semula kes manakala perbicaraan akan diadakan pada 11 hingga 18 Januari tahun depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan