Pekerja Kilang Cat Dituduh Cuba Merompak Dan Menyamar Anggota Polis - Berita Mahkamah | mStar

Pekerja Kilang Cat Dituduh Cuba Merompak Dan Menyamar Anggota Polis

Diterbitkan: Selasa, 27 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kilang cat pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan iaitu cuba merompak dan menyamar sebagai anggota polis, enam hari lepas.

Bagi pertuduhan pertama N.Sundram, 38, didakwa cuba merompak seorang lelaki Tan Ik Siaw, 56, di tepi jalan di Bulatan Loke Yiew, Dang Wangi di sini kira-kira 12.30 tengah hari, 21 September lepas. Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, Sundram didakwa menyamar sebagai anggota polis kepada mangsa yang sama di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Sundram yang berasal dari Cheras di sini didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret Mohd Azali Ibrahim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Okt depan untuk sebutan bagi tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Chew Zi Xian. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan