Khir Toyo: RM3.5 Juta Adalah Harga Pasaran

Diterbitkan: Isnin, 26 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo pada Isnin, memberitahu harga RM3.5 juta yang dibayarnya untuk membeli dua bidang tanah dan sebuah rumah di Seksyen 7, di sini, empat tahun lalu adalah mengikut harga pasaran.

Beliau yang sedang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini selaku saksi pembelaan pertama menambah, harga tersebut bukan ditetapkan oleh dirinya, tetapi ditetapkan oleh seorang jurunilai profesional yang dilantik oleh pihak bank.

Sehubungan itu, beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang menafikan dakwaan beliau mendesak, memaksa ataupun mempengaruhi pemilik hartanah itu, Datuk Shamsuddin Hayroni untuk bersetuju dengan harga RM3.5 juta yang didakwa terlalu rendah daripada pasaran.

Pada perbicaraan sebelum ini, Shamsuddin yang merupakan Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd memberitahu, beliau bersetuju untuk menjual hartanah berkenaan pada harga RM5.5 juta, memandangkan harga asal belian yang dibayar oleh syarikatnya pada tahun 2004 adalah RM6.5 juta.

Mengimbas mengenai detik awal perbincangan pembelian hartanah itu, Mohamad Khir berkata, hasrat untuk membeli rumah disuarakan beliau pada satu majlis perjumpaan bulanan yang dihadiri oleh kontraktor dan ahli perniagaan Selangor, yang tidak diingati tarikhnya.

"Selepas itu, Shamsuddin ada berjumpa dengan saya mengatakan dia mahu menjual rumah. Saya katakan bahawa saya mahu melihat dahulu rumah tersebut dan pada pukul 4 petang, saya dibawa ke rumah itu," katanya.

Menjawab soalan peguam M. Athimulan, Mohamad Khir seterusnya berkata dia tidak menyedari bahawa rumah tersebut adalah rumah yang sama dilawatinya pada tahun 2004 yang diperkenalkan oleh rakan politiknya, Datuk Sumadi Ismail yang semasa itu mahu menolong pemilik asal, Saiful Aznir Shahabudin menjual rumah itu.

Tambahnya, pada tahun 2004, Saiful Aznir yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Kebangsaan Berhad menawarkan hartanah itu pada harga RM7 juta, yang dirasakan amat mahal.

"Saya melawat rumah itu selama antara 10 hingga 15 minit, kemudian masuk semula ke dalam kereta dan saya tidak pernah menghubungi Saiful Aznir, malah terlupa tentang rumah berkenaan.

"Waktu itu, saya tidak masuk ke dalam rumah kerana tidak berminat denfan bentuk luarannya yang banyak berkonsepkan Itali, seperti menara di bahagian depan rumah dan juga banyak tingkap. Namun demikian rumah itu ada taman yang cantik," katanya.

Keadaan rumah tersebut pada tahun 2007, menurut Mohamad Khir adalah sangat berbeza daripada yang dilihatnya pada tahun 2004 yang disifatkannya sebagai rumah yang tidak boleh diduduki oleh sesiapa memandangkan ia tidak mempunyai pintu, tingkap, lantai, bekalan elektrik dan air serta tiada kemudahan tandas.

Memandangkan struktur rumah tidak sempurna, Mohamad Khir berpendapat adalah sukar untuk menentukan harga yang berpatutan menyebabkan beliau mencadangkan agar seorang jurunilai yang bebas dan profesional dilantik.

Kata Mohamad Khir lagi, cadangan itu dipersetujui oleh Shamsuddin menyebabkan tindakan beliau seterusnya adalah menghubungi pihak Bank HSBC agar melantik seorang jurunilai daripada Syarikat Rahim & Co yang melakukan kerja-kerja menilai pada 14 Mei 2007.

"Dua atau tiga hari selepas itu, saya menerima panggilan telefon daripada jurunilai bahawa harga rumah adalah RM3.5 juta. Selepas itu saya terus menghubungi Shamsuddin untuk memberitahu harga tersebut.

"Saya tanya dengan jelas jika Shamsuddin bersetuju untuk meneruskan penjualan itu atau sebaliknya. Dia kata setuju dan saya beritahu bolehlah saya mengisi borang untuk mendapatkan pinjaman bank," tambahnya.

Berdasarkan persetujuan bersama juga, Mohamad Khir mengeluarkan cek bernilai RM500,000 daripada akaun Maybank peribadinya sebagai pembayaran pendahuluan manakala bakinya akan dibuat melalui pinjaman Bank HSBC.

Mohamad Khir yang merupakan seorang doktor gigi sebelum terlibat dalam bidang politik juga pada keterangannya berpendapat harga RM3.5 juta itu adalah berpatutan dengan keadaan rumah yang hanya 50 hingga 60 peratus siap.

Tambahnya, kapasiti beliau sebagai Menteri Besar juga menyebabkan harga pembelian dibuat mengikut pasaran dan ditentukan secara profesional untuk menghindari timbulnya sebarang isu berhubung transaksi pembelian tersebut.

Ketika ditanya mengapa beliau boleh berubah fikiran untuk membeli rumah itu pada tahun 2007, sedangkan secara jelas mengatakan tidak berminat pada tahun 2004, Mohamad Khir menjawab, ia disebabkan keadaan rumah itu yang berlainan daripada apa yang dilihatnya sebelum itu.

"Rumah itu sangat berbeza. Ia adalah sebuah rumah yang belum siap dan memberi peluang kepada saya untuk menyiapkannya mengikut citarasa saya. Saya memang berminat mahu membina sebuah rumah berkonsepkan Jawa kerana saya orang Jawa," tambahnya.

Pada keterangan lain, Mohamad Khir mengakui bahawa beliau tidak mengingati bagaimana beliau dan Shamsuddin boleh berkenalan memandangkan terlalu banyak syarikat-syarikat yang mempunyai potensi cemerlang di Selangor.

"Cuma apa yang saya tidak dapat lupakan tentang Shamsuddin ialah ketika Perdana Menteri pada tahun 1997 memuji syarikat miliknya semasa merasmikan Stadium Kuala Selangor. Waktu itu saya masih belum bergelar ADUN dan Shamsuddin ada memberikan kad perniagaan kepada saya semasa makan," tambahnya.

Bagaimanapun, Mohamad Khir menafikan perkenalan tersebut menyebabkan beliau mengamalkan dasar pilih kasih kepada syarikat milik Shamsuddin apabila beliau dilantik menjadi Menteri Besar pada tahun 2002 hingga kejatuhan Barisan Nasional di Selangor pada Mac 2008.

Mohamad Khir, 46, sedang membela diri atas tuduhan tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 46, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas menerusi Shamsuddin pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu dan kesalahan itu didakwa dilakukan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di di sini pada 29 Mei 2007.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 6 Disember 2010 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki bersambung Selasa.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan