Khir Tidak Jelas RM200,000 Upah Ubah Suai Rumah

Diterbitkan: Isnin, 26 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohmad Khir Toyo pada Isnin, mengakui bahawa beliau masih belum menjelaskan baki RM200,000 kepada pereka laman bebas yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian sebuah rumah yang dibelinya di Seksyen 7, di sini.

Mohamad Khir menambah, beliau memilih untuk tidak membayar wang tersebut kerana beranggapan kerja-kerja yang dilakukan oleh Nasir Ismail, 55, tidak memenuhi kehendaknya selain berlaku pergaduhan di antara mereka.

"Contoh kerja yang tidak memenuhi spesifikasi adalah ada di antara soket elektrik yang tidak boleh berfungsi dan Nasir juga enggan menggantikannya, walaupun diminta.

"Pergaduhan itu bukannya kecil, tetapi pergaduhan besar dan dia pernah membawa keluar barang-barang daripada rumah saya menyebabkan saya menukar pintu pagar elektrik untuk halang dia masuk" katanya.

Mohamad Khir juga memberitahu, secara keseluruhan beliau hanya membayar RM400,000 kepada Nasir dan pembayaran tersebut dibuat secara ansuran sebanyak tiga kali menerusi cek akaun Maybank miliknya.

Beliau seterusnya menambah, kerja-kerja pengubahsuaian hanya dimulakan selepas beliau menandatangani perjanjian jual beli (S&P) rumah berkenaan dengan pemiliknya, iaitu Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni pada tahun 2007.

Berdasarkan S&P, rumah dan dua lot tanah berkenaan dijual pada harga RM3.5 juta, yang pada anggapan Mohamad Khir adalah berpatutan dengan keadaan rumah yang hanya 50 ke 60 peratus siap.

"Selepas S&P ditandatangani, saya telah panggil beberapa kontraktor untuk melihat rumah tersebut. Oleh kerana rumah itu masih belum siap, tidak ramai kontraktor yang sanggup untuk membuatnya," tambah Mohamad Khir.

Bagaimanapun, Nasir yang pernah diisytiharkan sebagai seorang yang bankrap pada tahun 1998 hingga 2008 menyatakan kesanggupannya untuk menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian rumah tersebut kepada konsep Jawa yang diminta Mohamad Khir.

Pada keterangannya, Mohamad Khir juga memberitahu, pada awalnya Nasir tidak mahu membuat sebarang perjanjian berkaitan pengubahsuaian rumah itu, tetapi tidak disetujui olehnya kerana perjanjian itu diperlukan untuk membolehkan beliau mengetahui kerja-kerja yang dilakukan.

"Saya mahu sekurang-kurangnya struktur asas rumah tersebut seperti lantai, pintu, tingkap dan pendawaian siap," katanya semasa menjawab soalan peguam M.Athimulan di Mahkamah Tinggi di sini.

Katanya lagi, selepas struktur asas rumah berkenaan disiapkan, beliau memulakan kerja-kerja menghias rumah dengan berkonsepkan Jawa dengan pembayarannya dilakukan serta-merta selepas ketibaan barang-barang hiasan.

"Begitu juga dengan perabot dan dapur. Bila peralatan itu dipasang dan saya berpuas hati, saya akan bayar pada waktu itu," tambahnya.

Selain itu, Mohamad Khir yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang turut menafikan keterangan Nasir bahawa beliau ada menyerahkan wang tunai berjumlah RM250,000 yang digunakan untuk membeli barang-barang pengubahsuaian di Bali, Indonesia.

Bukan itu sahaja, Mohamad Khir juga mendakwa, Nasir juga tidak pernah menunjukkan barang-barang yang didakwanya dibeli di Bali.

Nasir yang merupakan saksi pendakwaan sebelum ini menyatakan bahawa Mohamad Khir membelanjakan lebih RM6 juta tunai bagi kerja-kerja pengubahsuaian rumah yang dimulakan pada Mac 2006.

Dia juga memberitahu, diperkenalkan kepada Mohamad Khir pada 2006 selepas ahli politik itu 'berkenan' dengan hasil kerja yang dilakukannya di rumah ADUN Tanjung Sepat, Datuk Dr Karim Mansor.

Pada prosiding Isnin juga, Mohamad Khir diminta untuk menjelaskan maksud sebenar beliau apabila memberi jaminan kepada Shamsuddin agar tidak berasa risau apabila mereka bersama-sama dihadapkan ke mahkamah untuk kali pertama pada 6 Disember 2010.

Bagaimanapun, Shamsuddin dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan tersebut dan dipanggil sebagai saksi pihak pendakwaan.

"Saya maksudkan eloklah kami bersama-sama dalam membuktikan kami tidak bersalah. Waktu itu, Shamsuddin masih belum melantik mana-mana peguam untuk mewakili dirinya," ujar Mohamad Khir.

Beliau juga memberitahu, tidak pernah mengetahui kewujudan syarikat Ditamas dan tidak pernah menjalankan apa-apa urusan dengan syarikat terbabit tidak kira atas kapasiti sebagai Menteri Besar ataupun Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Saya hanya tahu Shamsuddin adalah pengarah Ditamas apabila ingin menandatangai S&P rumah pada 29 Mei 2007," katanya.

Mohamad Khir juga menafikan kenyataan Shamsuddin yang mendakwa bahawa dirinya pernah berurusan secara terus dengan Menteri Besar itu, termasuk boleh menghantar surat melalui tangan.

Ini kerana, Mohamad Khir berkata, beliau menjalankan pentadbiran yang agak ketat dan semua surat serta temujanji perlu melalui pembantu peribadinya untuk direkodkan.

Mohamad Khir, 46, sedang membela diri atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin di No. 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, di sini, harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki bersambung Selasa.

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan