Dua Warga Asing & Seorang Wanita Tempatan Didakwa Cuba Guna Kad Sim Untuk Penipuan Internet

Diterbitkan: Jumaat, 23 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dua lelaki dan seorang wanita tempatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas tuduhan menipu pekerja syarikat komunikasi untuk mendapatkan kad sim ganti yang akan digunakan untuk melakukan penipuan wang melalui Internet.

Rana Aidil Hayat, 24, yang berasal dari Pakistan dan warga Sierra Leone, Ibrahim Koroma, 27, dan wanita tempatan Adeline Audrey Lesslar, 27, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Semua mereka didakwa menipu pegawai perkhidmatan pelanggan di Celcom, Tuzira Safardi, 36, untuk mempercayai mereka adalah Muhammad Zambri Sulong yang menggunakan talian telefon syarikat komunikasi berkenaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu untuk mendapatkan kad sim ganti untuk talian milik Muhammad Zambri dan perbuatan tertuduh telah menyebabkan Tuzira menyerahkan kad sim tersebut, yang tidak akan dilakukan jika tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 8.15 dan 8.22 malam, 5 Julai lalu di Celcom Blue Cube cawangan Subang Parade, Petaling Jaya, dekat sini.

Selain itu, Adeline dan Ibrahim juga menghadapi pertuduhan kedua, iaitu menipu pekerja perkhidmatan pelanggan Maxis, Muhammad Aliff Ekhwan Yusoh, 22, pada antara pukul 9 dan 9.20 malam, 20 Ogos lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut sehingga memperdayakan Muhammad Aliff Ekhwan bagi mendapatkan kad sim ganti talian yang didaftarkan atas nama Joseph Christine.

Bagi kesalahan iti, semua mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan hukuman denda, jika sabit kesalahan.

Adeline baru sahaja menamatkan pengajian dalam jurusan komunikasi masa di sebuah universiti swasta manakala Ibrahim merupakan lulusan ijazah sarjana muda komputer sains yang sedang menunggu tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Unit Jenayah Perdagangan, Jabatan Peguam Negara, Nazrul Nizam Mohd Zameri manakala barisan pembelaan diwakili oleh peguam-peguam V. Aravindhaksan dan Tharuma Rathnam.

Aslam membenarkan Adeline dibebaskan dengan jaminan RM12,000 dengan dua penjamin yang terdiri daripada ibu dan bapanya manakala jaminan terhadap Rana dan Ibrahim ditetapkan pada jumlah RM15,000 juga dengan dua penjamin.

Bagaimanapun, penjamin tersebut mestilah merupakan warga tempatan dan kedua-dua tertuduh juga diarahkan untuk melaporkan diri ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman pada setiap minggu sehingga perbicaraan selesai.

Pada 14 September lalu, media melaporkan polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan wang melalui Internet yang didalangi oleh warga Afrika apabila tujuh anggota kumpulan terbabit diberkas.

Kumpulan tersebut yang dianggotai oleh mereka yang mahir dalam bidang teknologi maklumat termasuk lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Rangkaian serta Kejuruteraan Awam dari kolej swasta di ibu negara dikatakan mula beroperasi mulai awal tahun ini dan terlibat dalam 12 kes penipuan, membabitkan kerugian berjumlah hampir RM242,321.14.

Modus operandi kumpulan terbabit adalah mendapatkan maklumat perbankan Internet mangsa seperti nama pengguna, nombor laluan dan nombor telefon pengguna menggunakan taktik ‘phishing’, iaitu perbuatan mendapatkan maklumat peribadi melalui kiosk seperti nama pengguna, kata laluan dan maklumat kad kredit dengan menyamar sebagi individu sah dalam komunikasi elektronik.

Suspek berkenaan dikatakan memperoleh maklumat mangsa yang dimuat turun melalui perisian yang dipasang pada kiosk dalam bank yang menjalankan perbankan Internet.

Mereka kemudiannya akan membuat panggilan kepada pemilik akaun atau telefon dengan menyamar sebagai pekerja syarikat telekomunikasi dan memberitahu kononnya talian telekomunikasi akan mengalami gangguan perkhidmatan selama kira-kira dua jam kerana kerja-kerja menaik taraf dan setelah itu, mereka ke mana-mana cawangan syarikat telekomunikasi yang berkaitan untuk mendapatkan kad sim ganti.

Sindiket terbabit juga dilaporkan akan memperdayakan pekerja syarikat telekomunikasi dengan mengemukakan laporan polis palsu yang direka sendiri dengan menyatakan kononnya mereka telah disamun dan kehilangan telefon serta kad pengenalan.

Dokumen palsu yang dikemukakan itu menyakinkan pekerja syarikat telekomunikasi terbabit untuk menyerahkan SIM kad gantian yang akan digunakan oleh suspek bagi mendapatkan kod kuasa transaksi (TAC) wang dari akaun mangsa selain turut disalahgunakan untuk memohon kad kredit menggunakan nama mangsa.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan