Permohonan Najib & Rosmah Ketepi Sapina Didengar 29 September

Diterbitkan: Khamis, 22 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Khamis menetapkan 29 September ini untuk mendengar permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bagi mengetepikan sapina yang menghendaki mereka menjadi saksi pembelaan dalam perbicaraan kes liwat melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selepas menemui peguam pihak-pihak yang terlibat di kamar. Anwar dan Pendakwa Raya dinamakan sebagai responden.

Beliau juga menetapkan 3 hingga 7 Oktober bagi menyambung perbicaraan kes liwat iu selepas ahli kimia dari Australia, Dr Brian McDonald, selesai memberi keterangan hari ini.

Anwar, 64, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Peguam beliau, S.N.Nair memberitahu pemberita bahawa pihak pembelaan akan memanggil empat saksi terdiri pakar bedah ortopedik dari Jerman, Dr Thomas Hoogland yang pernah merawat sakit tulang belakang Anwar, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Kimia Lim Kong Boon. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan