Warga Emas Dipenjara Sehari, Didenda RM11,500 Kerana Rasuah

Diterbitkan: Selasa, 20 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM11,500 atau penjara setahun, jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah RM2,300, Februari lalu.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman itu terhadap Osman Nandood, 64, dari Dengkil, Selangor, selepas dia mengaku bersalah menerima wang itu daripada Mohamad Adib Ab Rahman, 27, di No.39, Jalan 2A/6, Taman Setapak Indah, Sentul di sini pada 2.37 petang, 13 Feb 2011.

Tindakan itu sebagai upah kononnya bagi membantu menguruskan perkahwinan poligami antara Mohamad Adib dan pasangannya, Nor Fariha Rosli tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan mengikut Seksyen 23 Akta Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).

Tertuduh, yang bekerja sendiri didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikyut Seksyen 24 akta yang sama. Terdahulu, Osman yang memakai baju Melayu berwarna biru dan berkopiah putih, yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon supaya mahkamah memberikan hukuman ringan dengan menimbangkan faktor umur dan tanggungannya.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli daripada SPRM memohon hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dengan mempertimbangkan faktor kepentingan awam dan juga memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi kepada masyarakat mengenai seriusnya gejala rasuah.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang pembantu hal ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu Mohamad Adib dan Nor Fariha pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Zulkifli Dawam, 50, dari Bukit Beruntung, Selangor didakwa memperdayakan kedua-dua mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh merupakan pendaftar atau penolong pendaftar pernikahan, penceraian dan rujuk yang bertauliah, sedangkan tertuduh tidak ditauliahkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan seperti dinyatakan dalam Undang-Undang Persekutuan.

Tertuduh, yang berkemeja hijau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Pendakwaan oleh Hanie menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam ketika mengemukakan rayuannya memohon agar wang jaminan itu dikurangkan kepada RM4,000 kerana dia tidak mempunyai kewangan yang kukuh. Hakim Ahmad Zamzani mengekalkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin yang dipohon oleh pendakwaan dan menetapkan 20 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi tertuduh melantik peguam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan