Liwat II: Pendakwaan Cabar Kredibiliti Pakar DNA

Diterbitkan: Selasa, 20 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Barisan pendakwaan yang mengendalikan prosiding kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa, mencabar kredibiliti pakar asid deoksiribonukleik (DNA), Dr Brian Leslie McDonald yang dipanggil sebagai saksi pembelaan kepada Ketua Pembangkang tersebut.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abdidin yang mengetuai barisan pendakwaan berkata, saksi yang berasal dari Sydney, Australia itu bukanlah seorang pakar memandangkan beliau tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang yang berkaitan DNA forensik.

McDonald, 60, yang mengakui perihal itu menjelaskan bahawa bidang berkaitan DNA forensik tidak wujud semasa beliau sedang melanjutkan pelajaran, memandangkan bidang tersebut mula dibangunkan hanya pada tahun 2002.

Bagaimanapun, beliau berkata subjek tersebut merupakan sebahagian daripada bidang biologi yang dipelajarinya, iaitu satu bidang yang telah lama dipelopori.

"Saya mempunyai pengalaman selama 30 tahun. Selain itu, saya juga memperoleh kemahiran berdasarkan pengalaman dalam kerja-kerja yang dijalankan, selain membuat analisa dan uji kaji berkaitan bidang tersebut," tambah McDonald di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam soal balas itu, Mohd Yusof turut meluahkan rasa kagum dengan kemahiran saksi yang dapat menjelaskan secara terperinci terma-terma saintifik melibatkan DNA dan juga kemampuannya untuk mengkritik ahli kimia tempatan, Dr Seah Lay Hong yang terlibat dalam kes liwat berkenaan.

Mohd Yusof: "Namun demikian, hanya kerana seseorang boleh menjelaskan terma-terma saintifik, ia tidak bermakna orang itu adalah seorang pakar?"

McDonald: "Secara umumnya saya setuju."

Mohd Yusof seterusnya merujuk saksi kepada satu kes di Mahkamah Rayuan Australia yang menolak keterangan McDonald dan menyifatkan beliau sebagai bukan seorang yang pakar.

McDonald bersetuju dengan kenyataan tersebut, tetapi menyifatkan ia adalah pendapat peribadi hakim yang mendengar kes berkenaan.

Semasa disoal bilakah kali terakhir saksi mengambil sampel DNA, McDonald memberitahu ia dilakukan pada tahun 2004 memandangkan tugas-tugas berkenaan telah diambil alih oleh robot mahupun ahli kimia yang lebih junior.

"Tugas untuk menterjemah sampel DNA masih dilakukan oleh ahli kimia yang berpengalaman, cuma pengambilan sampel sahaja dilakukan oleh mereka. Saya sendiri akan terkejut jika ahli kimia yang junior boleh menterjemahkan DNA," tambah McDonald.

Ketika diingatkan bahawa kehadiran McDonald di mahkamah adalah untuk membantu mahkamah dalam membuat keputusan yang tepat, saksi bersetuju bahawa beliau perlu bercakap benar dan tidak boleh membuat spekulasi dalam keterangannya.

Mohd Yusof kemudiannya merujuk saksi kepada satu artikel perubatan bertajuk 'Sexual Assault & Semen Persistant' oleh G.M Willot dan J.E Allard yang mengatakan bahawa air mani masih boleh diperoleh daripada bahagian rektrum untuk tempoh masa antara empat hingga 113 jam, yang dipersetujui oleh McDonald.

McDonald bagaimanapun tidak bersetuju dengan jurnal perubatan oleh Hospital Srinagarind, Thailand yang mengatakan air mani yang terdapat di bahagian faraj seseorang boleh kekal di situ selama 19 hari.

McDonald: "Saya tidak bersetuju kerana ada sebahagian jurnal ini yang ditulis dalam Bahasa Thai."

Mohd Yusof: "Tetapi terdapat ringkasan berhubung penemuan tersebut di dalam Bahasa Inggeris."

McDonald: "Ia hanya ringkasan, saya tidak dapat membaca mengenai penemuannya."

Pertikaian yang timbul menyebabkan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Anwar bangun untuk membantah soalan itu atas alasan saksi tidak sepatutnya diminta untuk membuat andaian berhubung penemuan tersebut yang ditulis dalam Bahasa Thai."

"Saya percaya tidak ada seorang pun yang berada di dalam mahkamah ini boleh memahami Bahasa Thai," tambah Ramkarpal.

Penemuan yang dilaporkan di dalam artikel dan jurnal terbabit adalah bercanggah dengan keterangan awal yang diberikan oleh McDonald yang mengatakan bahawa kemerosotan akan berlaku kepada sampel DNA yang tidak dibekukan dengan serta-merta.

Keterangan pada perbicaraan sebelum ini menyatakan bahawa sampel DNA yang diperoleh daripada rektrum bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan diambil dua hari selepas kejadian liwat didakwa berlaku, selain disimpan pada suhu bilik selama dua hari sebelum dihantar untuk analisa.

Anwar, 64, yang merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh sedang membela diri atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, yang didakwa dilakukannya pada antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008 di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, dekat sini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersambung Rabu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan