Ummi Hafilda Tarik Semula Saman RM100 Juta

Diterbitkan: Isnin, 12 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali pada Isnin, menarik semula saman bernilai RM100 juta yang difailkan terhadap bekas rakan perniagaannya, Baginda Minda dan MKini Dotcom Sdn Bhd yang merupakan pemilik portal berita, MalaysiaKini.

Tindakan menarik semula saman tersebut adalah bertujuan untuk beliau selaku plaintif membuat beberapa pembetulan terhadap kesalahan teknikal dan alamat penyampaian saman sebelum memfailkan semula saman berkenaan.

Peguam yang mewakili Ummi Hafilda, Zulhilmi Wagiman memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk V. T Singham bahawa anak guamnya bersedia untuk menarik semula saman itu dengan syarat diberikan kebebasan untuk memfail semula bagi memudahkan urusan mahkamah kelak.

Sementara itu, peguam Yusmadi Yusoff yang mewakili Baginda Minda atau nama sebenarnya Nor Azman Abdullah @ Baginda memohon agar Ummi Hafilda membayar kos berhubung penarikan saman itu.

"Saya hanya memohon kos minimum dikenakan terhadap plaitif, iaitu sekitar RM5,000 dijelaskan kepada anak guam saya mengambil kira kos yang dibayarnya sepanjang kes ini berjalan," katanya.

Tambah Yusmadi, antara kos yang telah dibayar oleh Baginda Minda adalah RM200 untuk urusan pemfailan dokumen dan RM800 untuk dia hadir ke mahkamah dengan menaiki kapal terbang dari Sibu, Sabah.

Baginda Minda menetap di Kapit, Sabah.

Yusmadi seterusnya berkata, kesilapan-kesilapan teknikal tersebut jelas meletakkan bahawa ia berlaku akibat kecuaian oleh pihak plaintif.

Pada prosiding sama, Yusmadi juga memaklumkan bahawa pencarian ringkas yang dilakukannya di Jabatan Insolvensi mendapati Ummi Hafilda telah diisytiharkan sebagai seorang yang bankrap berdasarkan arahan mahkamah bertarikh 6 Oktober 1999.

"Bagaimanapun, ia masih belum dapat dipastikan dengan sahih kerana carian hanya dilakukan menerusi nama apabila saya berjumpa dengan seorang peguam yang mempunyai laluan kepada maklumat Jabatan Insolvensi sebentar tadi," kata Yusmadi.

Menjawab isu kebankrapan tersebut, Zulhilme berkata, Ummi Hafilda telah mendapat kelulusan untuk meneruskan tindakan saman itu dan hanya perlu memaklumkan jabatan berkenaan mengenai tindakan selanjutnya.

Tambah Zulhilmi, anak guamnya tidak bersetuju untuk menarik semula saman, jika dikenakan kos dan akan meneruskan saman asal dengan memfailkan jawapan pembelaan mereka.

Selepas mempertimbangkan hujahan-hujahan itu, Hakim Singham membenarkan Ummi Hafilda untuk menarik semula saman asal itu dengan kebebasan untuk memfailkan saman baru.

"Jika saman baru difailkan, ia adalah tindakan kali ketiga. Sekiranya plaintif ingin memulakan permohonan baru, ia adalah tindakan terakhir.

"Mahkamah tidak menggalakkan dan tidak akan melayan mana-mana pihak yang mahu menyalahgunakan proses mahkamah.

"Mahkamah juga ingin memberi peringatan bahawa mana-mana pihak yang ingin failkan sebarang tindakan perlulah bersedia dan pastikan semua dokumen adalah teratur," kata Hakim Singham.

Berhubung isu kos, hakim berkenaan memutuskan bahawa jumlah kos hanya akan ditentukan pada peringkat akhir sekiranya saman baru difailkan oleh Ummi Hafilda dan keputusan mahkamah kelak memihak kepada Baginda Minda.

Pada prosiding itu, Ummi Hafilda yang merupakan saksi utama dalam kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 hadir bersama penasihat undang-undangnya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Adik kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali itu mendakwa Baginda Minda telah mengeluarkan kenyataan berbentuk fitnah secara sindiran pada sidang media yang dihadiri oleh sekumpulan wartawan di lobi Parlimen pada 15 Mac lalu.

Dakwanya lagi, MalaysiaKini selaku defendan kedua telah menerbitkan kenyataan tersebut pada hari yang sama dalam bahasa Malaysia pada pukul 2.31 petang manakala versi bahasa Inggeris diterbitkan pada pukul 3.04 petang.

Artikel tersebut didakwa ditulis oleh wartawan Hazlan Zakaria dan bertajuk ‘Baginda pula jelajah ‘bongkar’ Ummi Hafilda’ dan ‘Ummi’s sex-partner threatens to ‘tells all’.

Umi Hafilda mendakwa, kenyataan tersebut membawa maksud bahawa dirinya seorang ahli perniagaan yang terdesak, wanita tidak bermoral dan mempunyai banyak skandal dan tidak jujur.

Seterusnya, Umi Hafilda juga mendakwa penerbitan artikel tersebut telah menjejaskan reputasinya sebagai seorang individu berprofil tinggi dan sangat dikenali serta memegang pelbagai jawatan perniagaan dan sosial di Malaysia.

Selain itu, Umi Hafilda juga memohon perintah injunksi untuk melarang kedua-dua defendan daripada terus menerbitkan kenyataan fitnah tersebut.

Saman tersebut pada asalnya difailkan pada 17 Mac lalu sebelum dibatalkan oleh Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof pada 13 April lalu ekoran ketidakhadiran peguam ke mahkamah.

Justeru itu, Ummi Hafilda sekali lagi memfailkan saman yang sama pada 25 April.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan