Freddie Fernandez Saksi Dalam Tuntutan Royalti Anuar Zain?

Diterbitkan: Isnin, 12 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez berkemungkinan akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes tafsiran bayaran royalti yang difailkan oleh penyanyi, Anuar Zain terhadap bekas syarikat rakamannya.

Peguam yang mewakili Anuar, Aizul Rohan Anuar berkata, sekiranya dipanggil, Freddie akan memberi keterangan dalam perbicaraan berhubung isu penolakkan kos yang ditimbulkan oleh syarikat Synchrosound Records Label Music Sdn Bhd (Synchrosound).

Aizul dan Freddie ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada Isnin, apabila kedua-duanya hadir dengan niat mahu menghadiri perbicaraan kes tersebut.

Bagaimanapun, Aizul memberitahu, kes itu sebenarnya ditetapkan untuk perbicaraan pada 20 September ini, sedangkan peguam yang mewakili Synchrosound memaklumkannya pada hari ini.

Sementara itu, Freedie berkata, kehadirannya di mahkamah adalah sebagai pihak yang berkecuali, dan bukannya untuk berada di sebelah mana-mana pihak.

"Saya mahu memberitahu keadaan sebenar yang diamalkan di dalam industri seni berdasarkan pengalaman saya dan juga apa yang dipraktikkan," katanya sambil menambah, ini merupakan kali pertama beliau akan menjadi saksi mahkamah.

Freddie menambah, ini juga merupakan kali pertama beliau mendengar situasi di mana sebuah syarikat rakaman menolak kos penerbitan album dalam menentukan jumlah royalti yang akan diterima oleh seseorang artis.

"Bayaran royalti tidak boleh ditolak dengan apa-apa kos dan jumlahnya juga adalah seperti yang dipersetujui oleh artis dengan syarikat rakaman terbabit di dalam kontrak.

"Jika ada syarikat rakaman yang mengatakan royalti perlu ditolak jumlah kos, maka artis berkenaan perlulah menghubungi peguam," katanya.

Beliau juga memberitahu, kos dalam menghasilkan sesebuah album pada kelazimannya juga telah diambil kira oleh sesebuah syarikat rakaman sebelum menentukan jumlah royalti.

"Royalti adalah hak artis berdasarkan jualan album," kata Freddie.

Prosiding tafsiran ganti rugi royalti tertunggak diadakan selepas Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 41, berjaya dalam kes tuntutan saman balas bagi menuntut bayaran royalti daripada Synchrosound.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Dr Prasad Sandosham Abraham pada 14 Mei 2010 yang turut memerintahkan Synchrosound membayar kos dan faedah sebanyak lapan peratus ke atas jumlah royalti setahun bermula Jun 2006 kepada Anuar.

Adik kepada penyanyi, Ziana Zain itu memfailkan tuntutan balas dan pembelaan pada 20 Jun 2006 setelah beliau di saman oleh Synchrosound pada 21 April tahun yang sama.

Synchrosound dalam samannya, mendakwa penyanyi itu memungkiri perjanjian apabila menamatkan kontrak tanpa merakamkan tiga buah album lagi dengan syarikat tersebut.

Bagaimanapun, pada 27 Disember 2007, Penolong Kanan Pendaftar, Siti Aishah Ab. Rashid telah membatalkan tuntutan Synchrosound tersebut.

Dalam tuntutan balasnya, Anuar mendakwa, beliau dan Synchrosound seharusnya merakam dan mengeluarkan sebuah album sahaja tetapi syarikat itu telah melibatkannya dalam lebih daripada dua buah album.

Bagaimanapun, dakwanya, syarikat itu tidak pernah memberikan sebarang butiran atau penyata mengenai penjualan album-album tersebut seperti yang dikehendaki dalam perjanjian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan