Bekas Isteri Buat Permohonan Ketepikan Peguam Syarie Anak Ketua Menteri Sarawak

Diterbitkan: Isnin, 12 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas menantu Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Isnin, berhasrat mahu menggugurkan salah seorang peguam syarie daripada terus mewakili bekas suaminya yang didakwa telah mengingkari perintah mahkamah.

Datin Seri Shahnaz A. Majid, 48, membuat permohonan itu secara lisan pada sebutan prosiding notis tunjuk sebab yang diperolehnya secara ex-parte (sebelah pihak) terhadap bekas suaminya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib.

Menurut peguam syarie Dr Mohd Rafie Mohd Shafie yang mewakili Shahnaz, asas kepada permohonan itu adalah kerana peguam syarie yang mewakili Mahmud Abu Bekir, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar adalah salah seorang daripada Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

"Kami mendapat tahu Zainul Rijal telah dilantik dan antara peranan yang dimainkan oleh ahli majlis terbabit adalah dalam melantik hakim syarie, ketua hakim syarie dan juga hakim Mahkamah Rayuan Syariah," kata Mohd Rafie yang mengendalikan kes bersama peguam syarie Akbardin Abdul Kader.

Tambahnya, adalah dibimbangi akan berlaku konflik kepentingan yang dapat menjejaskan Shahnaz sekiranya peguam terbabit terus mewakili Mahmud Abu Bekir yang dinamakan sebagai defendan dalam kes tersebut.

Zainul Rijal kemudiannya mengesahkan bahawa beliau adalah ahli majlis terbabit, tetapi berpendapat permohonan itu seharusnya dibuat secara bertulis untuk membolehkan beliau menjawab perkara itu dengan teratur.

"Saya juga berpendapat ada forum yang lebih sesuai untuk membincangkan kedudukan saya iaitu Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Peguam Syarie.

"Itu adalah forum yang sesuai untuk membincangkan status saya dan saya akan menerima apa sahaja keputusan yang dicapai AJK terbabit," tambahnya.

Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohamad Abdullah bersetuju dengan Zainul Rijal bahawa permohonan itu perlu dibuat secara teratur dan menetapkan agar pihak-pihak memfailkan afidavit masing-masing pada 30 September ini.

Beliau juga menetapkan peguam-peguam untuk memasukkan hujahan pada 21 Oktober depan sebelum keputusan diberikan pada 1 November.

Semua tarikh tersebut adalah merangkumi semua permohonan yang didengar di hadapan beliau, termasuklah permohonan Mahmud Abu Bekir, 48, untuk mengenepikan notis tunjuk sebab dan perintah yang diperoleh oleh Shahnaz.

Shahnaz memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding tunjuk sebab pada 5 Ogos lalu agar Mahmud Abu Bekir memberikan sebab mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana didakwa mengingkari perintah.

Perintah itu adalah untuk Mahmud Abu Bekir yang merupakan seorang ahli perniagaan menzahirkan semua dokumen berkaitan harta miliknya, termasuklah akaun-akaun simpanan bank, akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), penyata cukai dan penyata kewangan bulanan atau tahunan.

Jika Mahmud Abu Bekir gagal untuk memberikan sebab, beliau boleh disabitkan dan dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 kerana dianggap telah gagal atau cuai untuk mematuhi perintah mahkamah.

Semua dokumen yang diminta oleh Shahnaz adalah untuk digunakan dalam permohonan tuntutan mutaah dan harta sepencarian yang berjumlah RM400 juta yang dituntut oleh kakak kepada Ratu Jazz negara, Sheila Majid itu terhadap Mahmud Abu Bekir.

Antara harta yang dituntut oleh Shahnaz untuk diisytiharkan sebagai harta sepencarian meliputi rumah di merata-rata tempat, tanah beratus-ratus hektar di Sarawak dan tanah di Bukit Tunku, di sini.

Selain itu, mereka juga didakwa mempunyai kereta Mercedez Benz, Lamborghini Murcielago, Ferrari Spider, Bentley New Continental GT, Maserati Quartoporte, AUDI, dan Van Alphard serta simpanan-simpanan bank.

Harta tersebut juga melibatkan syarikat-syarikat dan saham-saham seperti Titanium Management Sdn Bhd, Sarawak Cable Berhad, Cahaya Mata Sarawak Berhad, Premium Haven, Log Dak Promotions, Dataran Aras, Celebrity Design dan Bella Magic.

Shahnaz dan Mahmud Abu Bekir bercerai secara baik dengan talak satu pada 11 Mei lalu. Pasangan itu berkahwin pada 9 Januari 1992 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 18.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan