Mahkamah Persekutuan Tolak Rayuan Kes Tanah Adat

Diterbitkan: Jumaat, 9 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan pada Khamis, menolak rayuan yang difailkan oleh dua kumpulan masyarakat pribumi Sarawak yang mencabar penghapusan status Tanah Adat (NCR) di tanah yang diduduki mereka.

Keputusan itu dicapai sebulat suara oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Md Raus Shariff.

Pada penghakiman yang dibacakan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, panel hakim itu menolak rayuan yang dikemukakan oleh dua kumpulan itu agar kes tersebut dipindahkan semula ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan menerusi perbicaraan penuh.

Kumpulan Pertama itu terdiri daripada Bato Bagi yang telah meninggal dunia dua bulan lalu, Bit Buneng, Siring Angah, Adem Anyie, Jating Ibau dan Ngajang Midin mewakili lima rumah panjang di sepanjang sungai Batang Balui di Daerah Belaga, Kapit, yang terjejas oleh projek pembinaan Empangan Hidro Elektrik Bakun.

Mereka juga enggan berpindah ke Skim Penempatan Semula Asap dan terus tinggal di kawasan hulu Batang Balui.

Manakala kumpulan kedua pula ialah Jalang ak Paran dan Kampong anak Amih yang merupakan penghuni Rumah Munggu, rumah panjang di Tatau, Bintulu, Sarawak yang tanahnya di Ulu Batang Tatau diambil untuk pembinaan sebuah kilang papan.

Bagaimanapun, mereka dan keluarga masing-masing terus tinggal di tanah itu. Sehingga kini, tiada kilang papan dibina di tapak yang dicadangkan dan kawasan tersebut kembali menjadi hutan.

Kumpulan pribumi tersebut merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak yang membatalkan saman mereka berhubung satu isu undang-undang, sebelum Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa arahan menteri adalah sah.

Kedua-dua kumpulan yang membabitkan komuniti Dayak daripada etnik Kayan, Kenyah dan Ukit serta Iban diwakili oleh peguam-peguam Sulaiman Abdullah dan Baru Bian manakala Kerajaan Negeri Sarawak dan sebuah kilang papan, Borneo Pulp and Paper Sdn Bhd yang dinamakan sebagai responden diwakili oleh Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk J.C Fong dan peguam Marjanah Adenan.

Pada prosiding itu, Zaki yang memberikan penghakiman terakhir beliau sebelum bersara wajid pada Isnin depan berkata, keputusan itu adalah kes yang paling sukar yang pernah dibuatnya.

Beliau berkata, Bato Bagi dan Jalang mendesak agar kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi atas alasan penting untuk mahkamah memahami fakta yang terlibat selain memberi peluang kepada mereka untuk membangkitkan isu berkaitan adat resam serta mendakwa kaji selidik yang dijalankan tidak dibuat secara menyeluruh sedangkan ia diperlukan untuk menentukan nilai kerugian dan jumlah tuntutan.

"Bercakap mengenai pampasan, ramai individu yang bersama Bato Bagi bersetuju untuk menerima pampasang yang diberikan oleh kerajaan. Jika Bato Bagi tidak gembira dengan pampasan yang ditawarkan, mereka seharusnya memohon agar perkara itu dibawa ke majlis timbang-tara.

"Pada pendapat saya, mereka boleh meluahkan semua isu termasuk kehilangan tanah kebun, tanah perkuburan dan perkara-perkara yang memberi kesan kepada cara hidup mereka di dalam timbang-tara. Tidak ada keperluan untuk kes ini dipulangkan semula untuk perbicaraan," kata Zaki dan menambah 10 tahun telah berlalu sejak penghapusan status VCR tersebut.

Zaki juga berkata, sekiranya kes itu dikembalikan untuk perbicaraan penuh, ia akan bersifat akademik memandangkan Bato Bagi telah menerima wang pampasan tersebut tanpa merujuk kepada timbang-tara selain ia hanya akan membuang masa dan wang.

Berhubung kes Jalang, Zaki berkata Jalang juga telah menerima pampasan tanpa sebarang perasaan prejudis dan persoalan yang tinggal hanya jika dia boleh kembali ke tanah miliknya yang masih kosong sedangkan untuk Bato Bagi, tanahnya kini telah ditenggelami air.

Selanjutnya, Zaki berkata, beliau tidak menafikan bahawa tanah tersebut adalah lebih bermakna daripada sekadar harta fizikal kepada pemohon memandangkan ia melibatkan kehidupan mereka, tetapi ia juga tidak bermakna ia melampaui Perlembagaan untuk melucutkan hartanah seseorang.

"Mangsa dalam kes ini boleh meminta pampasan diberikan atas kehilangan kehidupan mereka yang berlaku akibat daripada pelucutan tersebut," tambahnya.

Sementara itu, Richard juga bersetuju dengan Zaki bahawa wang pampasan telah diterima oleh Bato Bagi yang tidak membuat sebarang protes semasa menerima wang tersebut dan tiada keperluan untuk memulangkan tanah yang telah menjadi dasar air.

Bagaimanapun, Richard menambah, pihak berkuasa yang terlibat tidak seharusnya menilai hak seorang pribumi dengan berpandukan aspek kewangan semata-mata.

"Semua faktor yang relevan juga perlu dipertimbangkan seperti selain menjadi pemilik tanah, kebergantungan kaum tersebut kepada tanah dan persekitarannya.

"Pada pendapat saya, pampasan tersebut tidak seharusnya hanya mencukupi. Ia juga mesti berpadanan dan setimpal dengan kadar jangka panjang," tambah beliau.

Panel hakim berkenaan pada pada penghakiman mereka, memutuskan untuk tidak mengenakan sebarang kos kepada perayu yang dibantah oleh Fong, namun Zaki memutuskan agar ketiadaan kos itu dianggap sebagai 'token' daripada pihak kerajaan negeri kepada dua kumpulan tersebut.

Sulaiman seterusnya memberitahu, meskipun berasa sedih dengan keputusan itu, beliau tetap berterima kasih kepada kebaikan panel hakim yang tidak mengenakan kos dan mengucapkan selamat bersara kepada Zaki yang akan digantikan oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan